SEMUA pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan masyarakat perlu saling membantu dan sedar tanggungjawab masing-masing dalam memastikan keselamatan murid ketika berada di sekolah bagi mengelak berlakunya insiden yang tidak diingini.
Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MAPIM) Dr Aziz Ujang berkata ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan keselamatan murid dapat dijaga sama ada ketika berada di dalam atau di luar pagar sekolah.
Beliau berkata tanggungjawab murid di luar pagar sekolah terletak pada ibu bapa dan masyarakat awam namun pihak sekolah juga perlu terlibat sama membantu bagi mencegah daripada berlakunya perkara yang tidak dingini.
“Inisiatif yang boleh diambil oleh pihak sekolah di luar pagar adalah menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan bagi melindungi murid. Sekolah juga boleh mengguna khidmat polis atau Rela kerana bilangan murid dan kenderaan begitu banyak ketika awal dan tamat sesi persekolahan,” katanya.
Beliau mengulas kejadian seorang murid Tahun Dua parah setelah dilanggar oleh kenderaan petugas am sekolah di Sekolah Kebangsaan Baruk, Jasin, Khamis lepas.
Aziz berkata perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku di dalam pagar sekolah dan boleh dianggap sebagai kecuaian pihak sekolah yang bertanggungjawab menjaga keselamatan muridnya.
Katanya, pihak sekolah sepatutnya mengambil langkah awal bagi mengelak perkara seperti ini berlaku dengan menggariskan langkah pencegahan seperti memperbaiki sistem laluan dan memberi pesanan secara berterusan kepada guru, kakitangan, ibu bapa dan pelajar sendiri.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin, Yusof Jantan berkata ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak mereka sewaktu berada di luar pagar sekolah.
Beliau berkata ketika menghantar anak ke sekolah adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka selamat sampai hingga ke dalam kawasan sekolah.
“Saya sering menasihati ibu bapa agar menghantar anak ke pagar sekolah dan tidak membiarkan anak mereka melintas secara bersendirian. Namun pada masa yang sama ibu bapa juga perlu peka dengan hak pengguna jalan raya lain dengan tidak meletakkan kenderaan sesuka hati di bahu jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Supt Mohd Sham Abdullah berkata ibu bapa seharusnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dengan tidak membawa masuk kenderaan di dalam kawasan sekolah kerana boleh mengundang risiko kepada murid lain. – Bernama, 6 Januari, 2018.
Komen