Adun DAP beri amaran muslihat kerjasama dengan Umno


Bernard Saw

Kerjasama dengan Umno mungkin ada muslihat di sebaliknya, kata seorang Adun DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2021.

KERJASAMA dengan Umno mungkin peluang cerah untuk kembali semula ke Putrajaya, namun tidak mustahil ada muslihat di sebaliknya, kata seorang wakil rakyat DAP.

Dalam temu bual The Malaysian Insight, Adun Balakong Wong Siew Ki memberi peringatan berdasarkan pengalaman kerjasama dengan Bersatu semasa pilihan raya umum 2018.

“DAP pernah laluinya semasa bekerjasama dengan Bersatu. Tetapi lihat apa yang terjadi selepas kita ambil alih Putrajaya,” katanya, merujuk kepada krisis politik pada Februari tahun lalu yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perkara sama tidak mustahil berulang memandangkan Bersatu adalah parti serpihan Umno, tambah Wong.

Beliau mengulas isu sama ada PH patut bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Meskipun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan menjalin kerjasama dengan PKR atau DAP, namun bocor rakaman audio mirip suaranya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim. Perbualan didakwa selepas perhimpunan agung Umno bulan lalu.

Isu rakaman itu terus diperkatakan walaupun Zahid dan Anwar menafikannya.

Adun Balakong Wong Siew Ki memberi peringatan berdasarkan pengalaman kerjasama dengan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2021.

Bagi Wong, kerjasama Umno -DAP mustahil untuk berlaku.

“Umno parti sayap kanan, manakala DAP sebelah kiri. Jadi, bagaimana hendak sama-sama mentadbir dan merumuskan dasar?

“Kami mungkin berpecah balik selepas jadi kerajaan, sama macam Bersatu,” katanya.

Menurutnya, perpecahan dalam Umno juga tidak memungkinkan kerjasama politik berlaku.

“Umno sekarang sudah berpecah, berpuak-puak. Puak mana yang akan bekerjasama dengan DAP?”

Wong bagaimanapun percaya kedua-dua parti boleh bekerjasa dalam isu-isu tertentu yang memberi manfaat kepada rakyat, misalnya pandemik Covid-19. – 14 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen