Pengguna Facebook lebih suka Azmin, Mukhriz jadi PM dan TPM


Briana Leong

Pengguna Facebook memilih Azmin Ali dan Mukhriz Mahathir sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2018.

SERAMAI 54% pengguna Facebook yang menyertai kaji selidik di Facebook memilih Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri Pakatan Harapan (PH), berbanding 46% yang menyokong Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kaji selidik selama 24 jam itu dijalankan oleh laman Facebook The Malaysian Insight berbahasa Mandarin, semalam.

Ia merekodkan 1,100 undi, dengan 588 (54%) responden memilih Azmin dan Mukhriz sementara 497 (46%) memilih Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah.

Dr Mahathir, 92, juga pengerusi Bersatu dan Dr Wan Azizah, 65, ialah presiden PKR dan mereka juga masing-masing pengerusi dan presiden PH.

Pengguna media sosial diminta menyatakan pasangan mana menjadi pilihan mereka, susulan cadangan oleh Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata Azmin dan Mukhriz, kedua-duanya berusia 54 tahun, yang selayaknya menjadi calon PM dan TPM bagi PH.

Zuraida membuat cadangan itu menjelang mesyuarat majlis presiden PH pada malam Jumaat, yang diadakan untuk mencapai keputusan berkenaan calon PM dan TPM gabungan pembangkang itu, tetapi gagal.

Semua parti dalam PH kecuali PKR bersetuju dengan cadangan awal untuk menamakan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah sebagai calon PM dan TPM, jika pakatan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mencadangkan Azmin Ali dan Mukhriz Mahathir yang selayaknya menjadi calon PM dan TPM bagi PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2018.

Bahagian komen di kaji selidik itu dipenuhi dengan sentimen negatif, dengan ramai yang tidak suka dan berang kerana kekurangan pilihan.

Sesetengah pengguna media sosial berkata mereka tidak tergamak hendak mengundi dan ada yang berkata, “Jadi bagaimana kamu boleh berani tuduh golongan muda tidak mahu mengundi?”

Seorang pengguna media sosial meluahkan sokongan untuk Dr Mahathir dan Mukhriz, yang juga anaknya sebagai PM dan TPM, tetapi menerima kecaman.

“Apa yang boleh anak-beranak itu tawarkan?” dan “Tidak ada sesiapa nafikan Mahathir ialah bekas PM dan berpengalaman. Tetapi Mukhriz? Apa yang Mahathir junior itu boleh buat?” – antara komen pengguna media sosial.

Dapatan daripada kaji selidik semalam tidak banyak berbeza daripada segi peratusan dengan kaji selidik sebelum ini yang dijalankan The Malaysian Insight bulan lalu di laman Facebook berbahasa Inggeris dan Melayu, di mana pembaca diminta sama ada mereka bersetuju jika Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dilantik sebagai PM dan TPM.

Kaji selidik di Twitter bulan lalu menunjukkan 107 orang (48%) mengundi pasangan Dr Mahathir Mohamad-Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon PM dan TPM Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2018.

Daripada keseluruhan 1,517 yang mengundi, 872 (57%) pengguna berkata “ya” sementara 645 (43%) jawab “tidak”. Dalam bahagian komen, sesetengah pengundi berkata mereka setuju dengan pasangan itu jika ia hanya untuk menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kaji selidik serupa diadakan di Twitter bulan lalu di mana 107 orang (48%) mengundi pasangan Dr Mahathir-Wan Azizah berbanding yang membantah 115 (52%) sepanjang tempoh undian selama enam jam.

Zuraida sebelum ini berkata Azmin dan Mukhriz akan dapat menarik undi golongan muda, dan walaupun usia mereka masih muda, mereka berpengalaman dalam memimpin negeri. Mukhriz ialah bekas menteri besar Kedah.

PH dijangka mengumumkan calon PM dan TPM pada konvensyen esok, seperti dijanjikan oleh Dr Mahathir.

Masih belum jelas sama ada pengumuman itu akan dibuat atau tidak, kerana ketua umum PKR Anwar Ibrahim dilaporkan menangguhkan keputusan berkenaan kerana lebih banyak maklum balas daripada aktivis dan kumpulan masyarakat sivil diperlukan.

Minggu lalu, PKR dilaporkan menetapkan tiga syarat untuk menamakan Dr Mahathir sebagai calon. Syarat pertama ialah Anwar dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh setahun selepas menang PRU14, kedua PKR diberikan kerusi persekutuan yang banyak di semenanjung Malaysia, dan ketiga ialah Dr Mahathir perlu bersetuju dengan perubahan institusi. – 6 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalau betul lah 2 org ni yg jadi PM memang melingkuplah negara..sorg syok sendiri..sorg lagi anak bapak.ikut je telunjuk bapak dia tu..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan