Pemborong sayur bergelut bersaing dengan penjual dalam talian


Bernard Saw

Peniaga barangan basah secara dalam talian semakin bertambah susulan penutupan pasar dan pasar malam semasa PKP bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2021.

PANDEMIK Covid-19 mewujudkan pesaing baharu kepada pemborong sayur dan buah tradisional yang sekian lama terbiasa menjual produk mereka di pasar.

Pemborong baharu kini menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian, memberikan pilihan kepada pengguna ketika penawarannya rendah kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), tetapi mendorong kepada kenaikan harga.

Pemborong tradisional memberitahu The Malaysian Insight ini menyebabkan mereka berperang dengan harga dan untuk bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan segar.

Mereka berkata ketika harga dinaikkan, beberapa jenis sayur dari Tanah Tinggi Cameron sukar diperoleh.

Pengerusi Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt berkata perubahan situasi bermula semasa fasa pertama PKP pada Mac tahun lalu.

Ketika itu ramai yang menganggur, dan menyebabkan lonjakan penjualan dalam talian dan melahirkan ramai pesaing.

Beliau berkata masyarakat tidak tahu bagaimana menangani PKP kerana pasar dan pasar malam ditutup, dan ia menjejaskan penjualan sayur-sayuran.

Pada masa itu mereka yang menganggur memutuskan untuk memasuki pasaran penjualan sayur dan bertindak sebagai orang tengah.

Beliau berkata orang tengah ini akan mengambil pesanan daripada pelanggan dan kemudian menghantar barang ke rumah. Dengan cara ini, mereka mencuri perniagaan daripada pemborong.

“Bagi operator dalam talian, tidak ramai yang membuat jualan runcit, tetapi lebih kepada borong,” kata Wong.

“Pelanggan terpaksa mencari bekalan di tempat lain kerana pasar ditutup dan ia membolehkan perniagaan dalam talian ini berkembang maju.”

Beliau berkata hari berniaga utama pesaing dalam talian adalah hujung minggu dan Isnin.

“Mereka akan memilih hari yang paling laris untuk membeli, iaitu pada Jumaat dan Sabtu dan kerana bekalannya terhad, mereka boleh mengenakan harga yang tinggi.”

Beliau berkata pesaing dalam talian membayar harga lebih tinggi untuk “merebut sayur-sayuran” itu.

“Jika tidak cukup (sayur-sayuran), kami tidak akan mendapat barang, dan bekalan sayur tidak akan sampai ke Kuala Lumpur.”

Pada masa lalu katanya, “semua produk akan cepat habis terjual” di pasar borong Kuala Lumpur walaupun harganya tinggi.

“Sekarang bila kita pergi membeli, ia tidak lagi tersedia kerana bekalan tidak cukup. Kadang-kala orang tengah membeli untuk pesaing dalam talian terlibat, punca semua bekalan habis, dan mereka akan meletakkan harga yang sangat tinggi.”

Bagaimanapun, Wong berkata pada hari perbelanjaan pengguna rendah, seperti Selasa hingga Khamis, orang tengah tidak mahu mengambil barang daripada pembekal, sebaliknya sayur-sayuran akan berlonggok di pasar borong Kuala Lumpur.

“Seluruh sistem pasar sudah berubah. PKP mempengaruhi kami. Sayuran yang tidak dapat dijual pada masa itu dibuang. Jadi kami meminta pembekal dari Cameron Highlands menghantar dalam jumlah yang lebih kecil.

“Tetapi ini juga menyebabkan mereka menghadapi masalah kerana tidak dapat menjual sayur-sayuran yang mereka petik dan terpaksa membuangnya.” – 15 April, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen