ICERD, Statut Rom idea Saifuddin, kata Anthony Loke


Chan Kok Leong

idea untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom bukan idea DAP dan tidak dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan, kata Anthony Loke. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 April, 2021.

IDEA bekas menteri luar Saifuddin Abdullah sebenarnya untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom, dan bukan idea DAP, kata setiausaha organisasinya Anthony Loke.

Katanya, isu itu dijuarai oleh Saifuddin selaku menteri luar pentadbiran Pakatan Harapan.

“Ini bukan isu DAP walaupun ada dalam manifesto Pakatan Harapan atau Buku Harapan.

“Ia dijuarai oleh Saifuddin yang jadi menteri luar. Tetapi isu ini tidak dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan,” katanya ketika diwawancara dalam program Bicara Tokoh bersama Majlis Profesor Negara.

Bekas menteri pengangkutan itu diwawancara oleh felo Majlis Profesor Negara Dr Muhammad Asri Mohd Ali dan disiar melalui Facebook.

Menurut Loke, beliau tidak maklum triti antarabangsa itu akan disahkan atau kesannya di Malaysia sehingga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berucap di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada September 2018.

“Tiada persiapan untuk menjelaskan isu itu kepada umum dan itu sebabnya ia jadi polemik dan isu bagi Umno dan PAS untuk serang kerajaan Pakatan,” jelasnya.

Loke menjawab soalan sama ada Dr Mahathir mendukung ratifikasi ICERD dan Statut Rom dan sama ada isu itu agenda DAP dalam kerajaan Pakatan.

Menurut Loke, walaupun DAP berpegang pada kepelbagaian kaum dan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia, itu tidak bermakna ia menolak apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami percaya pada kepelbagaian kaum, menyokong Islam sebagai agama persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Umno dan PAS yang menjadikan DAP sebagai momok menyerang pentadbiran Pakatan menggunakan isu antaranya ICERD dan Statut Rom.

Apabila menarik diri dari kerajaan pada Februari 2020, Bersatu mendakwa ia keluar gabungan itu kerana tidak dapat lagi bertolak ansur dengan DAP yang katanya menguasai kerajaan.

Mitos bahasa

Menyentuh isu bahasa, Loke berkata tuduhan DAP mahu menjadikan Mandarin dan Tamil setara dengan bahasa Melayu adalah mitos politik berniat jahat yang dimainkan oleh musuh politiknya.

Begitu juga dengan dakwaan mengenai dasar kesaksamaan yang akan menghakis hak dan keistimewaan Melayu, tambahnya.

“Ambil bahasa Melayu misalnya. Saya gunakannya setiap masa. Semasa jadi menteri saya hanya guna bahasa Melayu dalam sidang media. Bahasa Melayu saya tak baguskah?

“Malah, kebanyakan wakil rakyat DAP bertutur bahasa Melayu dengan baik,” katanya.

Jelas beliau kebanyakan orang Cina boleh menggunakan bahasa Melayu walaupun tidak begitu baik dalam kalangan berumur kerana latar pendidikan mereka.

“Kita terima dan sokong bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penyatuan. Tetapi kita tidak boleh nafikan kaum-kaum lain daripada belajar bahasa ibunda mereka.

“Kepelbagaian ini bukan beban tapi satu kekuatan yang boleh dimanfaatkan untuk negara,” kata Loke.

Beliau juga menjelaskan DAP bukan mencabar status quo dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mahu lihat tiada pilih kasih dalam penguatkuasaan dan pengagihan yang lebih adil memastikan mobiliti sosial yang lebih baik.”

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan boleh membantu memberikan kemudahan kepada penduduk di pedalaman untuk mendapat tahap pendidikan yang sama baik dengan penduduk di bandar. – 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen