Harith Iskander bakal muncul di Netflix


Nabihah Hamid

Harith Iskander bakal muncul dalam slot berjudul "I Told You So" yang akan ditayangkan ke seluruh dunia melalui platform Netflix pada 19 Januari ini. – Gambar Facebook Harith Iskander, 6 Januari, 2018.

PELAWAK nombor satu dunia, Harith Iskander bakal muncul dalam program komedi di platform video dalam talian Netflix melalui rancangan khas menampilkan bintang komedi dari Asia Tenggara.

Pengacara popular itu bakal muncul dalam slot berjudul “I Told You So” yang akan ditayangkan ke seluruh dunia melalui platform tersebut pada 19 Januari ini. 

Seorang lagi pelawak dari Malaysia, Kavin Jay dari Malaysia akan ditampilkan untuk siaran 2 Februari dan seorang lagi, Fakkah Fuzz dari Singapura untuk siaran 26 Januari.

Harith berkata, beliau berasa terkejut dan bangga apabila menerima peluang untuk berkarya dengan bebas di saluran popular itu.

“Netflix memang global dan program ini akan dilihat di mana-mana negara yang ada Netflix. Bila dijemput tahun lepas, saya memang terkejut tapi begitu bangga.

“Netflix memberi peluang saya berkarya. Bila saya nak cuba ubah konsep lawak untuk orang Amerika ke apa, mereka kata tidak,” kata Harith ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Katanya, peluang itu juga sangat baik kerana Netflix memberi kebebasan penuh kepada untuk berkarya tanpa menetapkan sebarang sekatan.

Menurut Harith, program kendaliannya itu menyentuh pelbagai topik termasuk kekeluargaan, pengalaman janggal pasangan sedang bercinta, sosial dan kebudayaan yang sering dialami oleh masyarakat di Malaysia dan Singapura.

“(Eksekutif Netflix memberitahunya) Hanya ikut cara anda, hati, kehendak dan kesedaran anda. Percayalah di luar memang ada orang yang akan suka dengan lawak anda.

“Mereka tidak memberikan saya batas-batas. Mereka beri saya kebebasan. Itu yang saya rasa kebaikan dengan komedi yang saya bawa,” katanya.

Harith merupakan pengacara program bual bicara mingguan Obviously Harith di Astro Awani pada 2016.

Netflix sejak kebelakangan ini mula mengembangkan kandungannya dengan menawarkan filem dan siri televisyen dari Asia.

Ia dilihat sebagai langkah menyaingi platform seumpamanya di Asia Tenggara seperti iFlix, Viu, Hooq, Tribe dan CatchPlay.

Netflix merupakan peneraju utama perkhidmatan hiburan internet yang mempunyai lebih daripada 109 juta ahli di lebih 190 buah negara.

Penonton saluran itu berpeluang menikmati rancangan TV dan filem berjumlah lebih 140 juta jam setiap hari, termasuklah rancangan bersiri, dokumentari dan filem asli.

Pada 2016, Harith dipilih oleh peminat komedi dunia sebagai pelawak nombor satu dunia dalam pertandingan The Funniest Person in the World anjuran Laugh Factory, kelab komedi di Amerika Syarikat. Beliau mengatasi empat pelawak lain yang terpilih ke peringkat akhir daripada 88 pelawak dari seluruh dunia. – 6 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen