Hakim bicara silap rumus Najib bertanggungjawab atas dana SRC, hujah peguam


Hailey Chung Wee Kye

Najib Razak memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan dan hukuman hakim Mahkamah Tinggi terhadapnya dalam kes SRC International Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

HAKIM bicara di Mahkamah Tinggi tersilap merumuskan Najib Razak bertanggjawab ke atas dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd yang masuk ke akaun bank peribadinya, hujah peguambela kepada bekas perdana menteri di Mahkamah Rayuan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nadzlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata Najib menggunakan kuasanya dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang beliau pengerusikan pada 2011 dan 2012 untuk mendapat akses kepada dana SRC.

Ini termasuk RM42 juta yang dimasukkan ke dua akaun banknya pada akhir 2014 dan awal 2015.

Peguambela Najib berhujah rumusan hakim bicara itu sangat prejudis kepada anak guam mereka.

“Biarpun pertuduhan membayangkan ada perbincangan awal atau tawar-menawar yang mengikat keputusan dan timbal balas, tiada keterangan yang dikemuka untuk menunjukkan perkara itu,” kata peguam Farhan Read.

“Najib tidak sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) 2009.

“Undang-undang jenayah bukan ruang untuk menjadikan tertuduh bertanggungjawab,” tambahnya.

Rayuan Najib didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Menurut Farhan, Najib juga menerima wang melalui akaun banknya daripada beberapa sumber lain dan bukan hanya dari SRC, namun hanya dana dari SRC yang ditonjolkan.

Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu mendapati Najib bersalah atas kesemua tujuh tuduhan – satu kes salah guna kedudukan, tiga kes jenayah pecah amanah dan tiga kes mengubah wang haram – melibatkan RM42 juta milik SRC, yang juga bekas anak syarikat 1MDB.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Beliau mengemukakan 307 alasan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

Rayuan bersambung esok. – 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen