Luka kerana PAS sentiasa berdarah, kata Ahmad Said


Diyana Ibrahim

Muafakat Nasional tidak wujud di Terengganu kerana PAS tidak pernah berubah untuk membolehkan kerjasama dengan Umno berlaku, kata Pengerusi Umno negeri Ahmad Said. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

MUAFAKAT Nasional tidak wujud di Terengganu kerana PAS tidak pernah berubah untuk membolehkan kerjasama dengan Umno berlaku, kata ketua Umno negeri itu Ahmad Said.

Katanya, sikap PAS memburukkan lagi sentimen dalam kalangan anggota Umno yang masih terluka dengan tindakan pemimpin parti Islam itu selama ini.

Ketika diwawancara The Malaysian Insight, beliau membangkitkan mengenai tindakan pemimpin PAS mengkafirkan orang Umno sehingga memecah-belahkan masyarakat.

“Hal kafir-mengkafir, fatwa yang mengelirukan berlaku. Macam mana kita nak berdepan (PAS) hari ini.

“Ini bukan luka lama tapi luka yang setiasa berdarah tak baik-baik,” katanya.

Bekas menteri besar Terengganu itu turut mengimbau perbuatan buruk PAS selepas parti itu menang pilihan raya umum pada 1999.

“Pada 1999 PAS menang pilihan raya jadi berlaku fatwa pergaduhan, perkelahian (berkaitan) isu sensitif berlaku di Terengganu tapi tak berlaku di negeri lain.

“Masa Umno kalah pada 1999, PAS tutup tadika kita. Bawa lari meja kerusi, tempat orang belajar mesin jahit dia ambil. Berlaku fatwa cerai-berai sembahyang masjid berasingan,” katanya.

Pergolakan hubungan kedua-dua parti di Terengganu dikaitkan dengan fatwa dikeluarkan pesuruhjaya PAS negeri waktu itu Abdul Hadi Awang mengenai hukum menentang Umno.

Hadi dalam satu ceramah kontroversi digelar Amanat Hadi pada 1981 antara lain menyebut, Umno meneruskan pemerintahan penjajah yang tidak Islamik.

Oleh sebab itu perjuangan PAS dan penyokongnya menentang Umno dianggap sebagai jihad, menurut Hadi dalam amanat tersebut.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata kerjasama MN tidak berlaku kerana PAS masih tidak berubah dengan cara mereka yang agresif dan tidak bertolak ansur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

Falsafah itu menyebabkan insiden kafir mengkafir, solat jemaah berasingan dan pemulauan aktiviti antara kelompok parti menjadi tajuk utama laporan berita pada tahun-tahun tersebut.

Malah, falsafah tersebut turut dikaitkan dengan tindakan radikal penyokong PAS yang menyebabkan peristiwa berdarah Tragedi Memali pada 1985.

Selepas berseteru sekian lama, PAS dan Umno bagaimanapun kemudian membentuk kerjasama strategik Muafakat Nasional pada 2018 selepas parti tunjang Barisan Nasional itu tewas PRU14.

Bagi Umno Terengganu, walaupun lama berseteru dengan PAS, usaha itu disambut baik di peringkat awal demi penyatuan Melayu-Islam, kata Ahmad.

Malah atas semangat penyatuan ummah itulah Umno dan PAS negeri itu menjadi pihak yang paling awal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MN.

Namun yang diharapkan dalam kerjasama MN itu tidak berlaku kerana PAS masih lagi tidak berubah dengan cara mereka yang agresif dan tidak bertolak ansur.

“Terengganu negeri pertama yang menandatangi MOU MN. Di stadium (perasmian MN) saya menitiskan air mata.

“Kita mengharapkan MN tapi sebenarnya tak berlaku hanya gimik semata- mata. Sebab itu saya kata MN tak berlaku di Terengganu,” katanya.

Beliau juga membangkitkan pengumuman PAS untuk mempertahankan enam kerusi Parlimen di Terenggau tanpa berunding atau memaklumkan terlebih dahulu dengan Umno.

Walhal isu rundingan kerusi melibatkan persefahamanan di antara dua parti yang sepatutnya dibincangkan bersama dalam Mesyuarat MN di peringkat negeri, katanya.

Perkara itu tidak berlaku dan mesyuarat MN negeri itu hanya sekadar menjadi majlis makan- makan, kata Ahmad.

Selain itu, PAS juga melanggar janji kerana peruntukan RM10 juta untuk bantuan Covid-19 oleh kerajaan pusat tidak disalurkan kepada wakil rakyat Umno, katanya.

“Kalau dana itu dari kerajaan negeri saya tak bising sangat. Tapi ini dari kerajaan pusat yang Umno ada dalam kerajaan ini. Kalau Perlis, Pahang boleh beri sama rata kepada wakil rakyat PKR.”

Tambahnya bukan sahaja di Terengganu, PAS juga melanggar semangat MN di negeri lain yang menyebabkan krisis jawatan menteri besar di Perak dan di Kedah.

Katanya lagi, beliau sejak awal lagi memberi amaran mengenai risiko kerjasama dengan PAS tetapi tidak diendahkan pemimpin tertinggi Umno.

“PAS ini saya boleh cakap mereka ini tamak. Hak dia, lokek tak nak lepas. Hak kita, dia nak. Saya awal- awal lagi dah nampak. Saya bagi amaran pada Majlis Tertinggi, kepada presiden.

“Saya cakap saya tak percaya PAS. Saya orang pertama yang kata PAS ini parti ajaran sesat. Saya kata PAS ini part mutaah sebab dia nikah sana tinggal, nikah sini tinggal,” katanya.

Jelasnya, sikap itu boleh dilihat dengan tindakan PAS yang membentuk dan memutuskan kerjasama dengan banyak parti politik sebelum ini.

“Bermula dengan Umno lepas tu Berjasa , lepas itu dengan PKR, DAP pun. Kami di Terengganu lebih faham perangai PAS,” katanya.

Perkara itu antara alasan untuk Umno Terengganu menegaskan pendirian lebih awal untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan PAS dalam PRU15.

Tegasnya, Umno tetap akan bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lapan kerusi Parlimen di PRU15. – 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen