Pemilihan parti kemudian supaya menang PRU15, kata Umno Terengganu


Diyana Ibrahim

Pemilihan parti perlu dibuat selepas PRU15 untuk jamin kemenangan dan elak Bersatu memecah-belahkan parti, kata Umno Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

PEMILIHAN parti perlu dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menjamin kemenangan dan mengelakkan Bersatu memecah-belahkan parti, kata Umno Terengganu.

Pengerusinya Ahmad Said memberitahu The Malaysian Insight, Bersatu akan mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan Umno sekiranya pemilihan dibuat sebelum PRU15.

“Tak boleh samakan pemilihan yang lepas kerana ada isu lain mengatasi pemilihan. Sebab bila pemilihan akan berlaku pertandingan, ada yang kalah dan ada yang menang.

“Berapa ramai yang rasional dalam pertandingan. Kebanyakannnya tidak rasional dan bila kalah, Muhyiddin pula datang beri tawaran ketua bahagian yang kalah. Umno akan berpecah lagi teruk.”

Bekas menteri besar Terengganu itu berkara tawaran itu bagi melemahkan lagi Umno dengan menggoda pemimpin bahagian terbabit untuk menyertai Bersatu apabila kalah pemilihan.

Pada masa sama beliau turut membidas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin kerana membuat gesaan pemilihan perlu diadakan sebelum PRU15.

Ahmad berkata beliau melihat Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu seolah-olah menyokong usaha presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mahu memecah-belahkan Umno.

Walhal, Khairy tidak membangkitkan perkara itu sewaktu tewas pertandingan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti pada 2018, katanya.

“Kata graduan Oxford tapi tak rasional. Dulu masa kalah (pemilihan) senyap saja. Sekarang dah dapat jadi menteri baru nak cakap balik,” katanya.

Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno menggesa pemilihan diadakan sebelum PRU15 bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti itu.

Katanya langkah tersebut akan membolehkan Umno menghadapi PRU15 dengan kepemimpinan yang lebih jelas.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata Bersatu akan ambil kesempatan untuk memecah-belahkan Umno jika pemilihan dibuat sebelum PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

Yakin Umno akan menang Terengganu semula

Seterusnya, Ahmad berkata beliau yakin Umno akan berjaya merampas semula Terengganu kerana melihat prestasi buruk PAS mentadbir negeri itu.

Beliau berkata rakyat boleh menilai prestasi PAS kerana tiada pembangunan dilakukan di Terengganu sejak parti itu berjaya menguasai negeri itu semula selepas menang PRU14.

Apa yang dapat dilihat hanyalah tindakan PAS mengagihkan tanah kepada pengikut seperti dilakukan semasa 1994 hingga 2004 ketika parti itu menguasai Terengganu, dakwanya.

“Apa yang dilakukan mengagihkan tanah kepada orang PAS secara tidak teratur dan mengikut undang-undang yang betul.

“Dan sekarang ini saya lihat berulang-kali mereka agihkan tanah kepada pengikut mereka.

“Dari segi pembangunan, tak nampak pembangunan yang dirancang menjana pendapatan untuk kerajaan Terengganu sendiri,” katanya.

Ia berbeza ketika Umno menjadi kerajaan di mana parti itu sangat mengutamakan kebajikan yang bukan saja tidak boleh ditandingi PAS malah negeri lain yang dikuasai Barisan Nasional, katanya.

Tambahnya, kemenangan PAS di Terengganu bukan disebabkan kekuatannya tetapi kerana mendapat kelebihan atas masalah parti lain.

Ahmad memberi contoh, insiden mata lebam Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 1999 yang menyebabkan ramai ahli Umno keluar parti.

“Sebenarnya PAS menumpang di atas masalah parti lain contoh Umno dan parti ketiga lain seperti PKR. Ketika itu ahli Umno lari dan sokong PKR.

“Tapi yang menang bukan PKR tapi PAS, sebab ahli PAS tak lari,” katanya.

Keadaan sama berlaku dalam PRU14 apabila sokongan Umno berkurangan, yang menguntungkan PAS kerana sokongan dari penyokongnya tidak berubah.

“Penyokong Umno pindah undi kepada PH tapi yang menang PAS. Cuma bila rakyat rasa susah sekarang ini memang mereka ingin kembali pada BN dan Umno,” katanya. – 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen