Perlindungan saksi galakkan budaya anti rasuah, kata C4


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Hussamuddin Yaacub berkata, anggota gabungan Gabungan Rasuah Busters akan berkongsi misi dan gerak kerja dalam kempen berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 April, 2021.

BUDAYA anti rasuah boleh digalakkan dengan memberi perlindungan kepada penyalur maklumat mengenai rasuah, kata Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4), Cynthia Gabriel.

Katanya isu itu harus diberikan perhatian sekarang biarpun sudah ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Sekarang ini, antara perkara utama yang perlu diberi fokus adalah pemberi maklumat, kita memang ada Akta Pemberi Maklumat. Tetapi sebenarnya akta ini tidak melindungi sangat si pemberi maklumat itu.

“Kalau kita (orang ramai) takut atau bimbang agensi mana untuk salurkan maklumat untuk tindakan berkesan, bagaimana mesej anti rasuah akan berjaya disebarkan,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, hari ini.

Jelasnya, ada pemberi maklumat yang risau akan diambil tindakan kerana melaporkan rasuah.

“Disebabkan itu, saya rasa akta pemberi maklumat penting dalam isu ini,” katanya.

Gabriel ditemui selepas majlis pengumuman Gabungan Rasuah Busters dan Pelancaran Malaysia 100 Juta Langkah Menentang Rasuah di Kompleks Karangkraf.

Semasa mengumumkan gabungan tersebut, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Hussamuddin Yaacub berkata, anggota gabungan itu akan berkongsi misi dan gerak kerja dalam kempen berkenaan.

Menurutnya, pasukan Rasuah Busters menyasarkan pelbagai sudut potensi kerjasama selagi ia membawa pensejajaran misi membawa Sinar Untuk Malaysia dengan mengangkat nilai moral karakter bangsa sebagai objektif kecemerlangan di Malaysia.

“Rakan strategik kami bebas melaksanakan apa jua bentuk program dan aktiviti di peringkat organisasi masing-masing dan berkongsi maklumat untuk disebar luas kepada para sukarelawan serta masyarakat umum,” katanya.

C4 adalah antara 100 rakan strategik Pasukan #Rasuah Busters yang terdiri daripada badan berwajib, badan bukan kerajaan dan korporat untuk menggerakkan kempen membasmi budaya rasuah secara besar-besaran ke segenap lapisan masyarakat. – 12 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen