Rindu masa HIV, denggi, TB jadi masalah terbesar, kata doktor


Raevathi Supramaniam

KONSULTAN penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar Chidambaram selama ini biasa berdepan dengan keadaan sukar merawat pesakit menghidapi demam denggi yang teruk, tetapi itu ketika sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

Selepas lebih setahun mengetuai hospital itu dalam melawan koronavirus, beliau mahu kembali ke hari-hari sebelum ini di mana merawat pesakit HIV, batuk kering dan denggi adalah masalah terbesarnya.

“Sebagai doktor bagi penyakit berjangkit, jangkitan terbesar pernah kita uruskan sebelum Covid-19 ialah HIV, batuk kering (TB) dan denggi. Ini tiga penyakit utama yang sering saya kendalikan.

“Kita masih kendalikan kes pesakit luar HIV dan TB, tetapi kita tidak merawat mereka di wad hospital, tetapi kita masih perlu buka klinik.

“Saya rindu penyakit itu sekarang. Saya hampir lupa cara menguruskan kes berkenaan,” katanya berseloroh.

Dr Suresh berkata rutin harian dan beban kerja sebelum pandemik, dan kini dengan Covid-19, sangat berbeza.

“Covid-19 menjadikan penyakit berjangkit yang lain seperti lebih mudah, kerana Covid-19, tidak ada rujukan atau bukut teks yang boleh dijadikan panduan. Kita yang terpaksa menulis buku teks itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika menjadi pelajar perubatan dulu, Dr Suresh berkata beliau tidak pernah menjangkakan bakal menjadi petugas barisan hadapan dalam pandemik.

“Tetapi bila saya jadi doktor penyakit berjangkit, sudah tentu kita dilatih untuk berdepan keadaan ini.

“Bukan pandemik dengan skala besar seperti ini, tetapi kita bersiap sedia menguruskan wabak baharu.”

Secara keseluruhan, Dr Suresh berkata profesional penjagaan kesihatan banyak belajar daripada cara menguruskan Covid-19.

“Kami belajar tabiat baharu, belajar bekerjasama sebagai satu pasukan dan kami buat banyak lagi penyelidikan.

“Kami melihat penyakit ini dari sudut yang lebih analitikal kerana sebelum ini kami hanya perlu ambil garis panduan dan mengguna pakai, tetapi sekarang kami menganalisisnya dengan lebih baik.

“Kami menggunakan lebih banyak teknologi di klinik. Kebanyakan masanya juga kami menguruskan pesakit menerusi telefon, bukan secara berdepan,” katanya.

Ahli keluarga Dr Suresh sangat menyokongnya dalam merawat pesakit Covid-19, tetapi mereka tetap berdepan dengan saat yang menakutkan sepanjang setahun lalu.

“Mereka tahu saya doktor penyakit berjangkit, mereka sedar ia sebahagian daripada tugas saya dan sangat memberi sokongan.”

Anak-anaknya sendiri tidak berminat menjadi doktor, tetapi Dr Suresh percaya ramai yang akan berminat menjadi seorang doktor kerana pandemik ni.

“Anak-anak saya tidak suka kerja yang terlalu panjang tempohnya seperti saya, sejak dari sebelum Covid-19 lagi.

“Tetapi saya rasa pada masa ini pelbagai perkara berkaitan perubatan boleh menyebabkan ramai yang membuat keputusan untuk jadi doktor. Saya fikir Covid-19 menjadikan profesion ini sangat popular.

“Jika tidak sekalipun, nilai pekerja penjagaan kesihatan kini meningkat di mata masyarakat. Covid-19 sepatutnya menjadikan lebih ramai orang berminat dalam bidang penjagaan kesihatan,” katanya.  – 13 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen