Klip audio Anwar satu pengkhianatan, kata Azmin 


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi perlu jujur sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2021.

MOHAMED Azmin Ali menyifatkan klip audio yang didakwa perbualan antara Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, sebagai satu pengkhianatan besar yang dilakukan oleh presiden PKR.

“Saya kira ini merupakan pengkhianatan yang terbesar yang dilakukan Anwar Ibrahim bukan saja kepada partinya sendiri tapi juga kepada anggota komponen PH kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan,” katanya yang juga ketua penerangan Perikatan Nasional hari ini.

Setahun lalu, Azmin mengetuai 10 ahli Parlimen PKR keluar parti dan menyertai Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dalam percaturan politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Azmin kemudian menyertai Bersatu dan dilantik menteri dalam kabinet Muhyiddin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga yakin bahawa klip audio melibatkan bekas ketuanya itu adalah sahih.

“Saya sebagai pegawai yang telah berkhidmat dengan beliau sekian lama dan merupakan bekas setiausaha sulit beliau, saya yakin itu adalah rakaman yang sahih yang akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan,” katanya pada satu majlis di Gombak hari ini.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat perkata itu dan memastikan individu yang terlibat mempertahankan diri mereka.

Azmin berkata presiden PKR dan Ahmad Zahid perlu jujur sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing.

Zahid sebelum ini menafikan klip audio perbualan yang dipercayai antara dirinya dan Anwar Ibrahim serta menyifatkan ia palsu, yang didedahkan oleh pihak yang mahu melemahkan dan menghancurkan Umno.

Perbualan rakaman audio berkenaan membincangkan mengenai hasil Perhimpunan Agung Umno yang diadakan baru-baru ini berhubung kerjasama antara Bersatu dan perikatan Nasional.

Semalam Anwar turut menafikan kesahihan klip audio berkenaan.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan sama ada terdapat kesalahan dengan rakaman itu walaupun ia sahih. 

“Jika ia benar, apa salahnya dengan perbualan itu? Apakah ada unsur jenayah atau ia satu kesalahan?” kata Anwar semasa forum dalam talian yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara semalam.

“Tiada apa yang salah dengan audio itu,” katanya kepada Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohamad Agus Yusof yang menemu ramahnya. – 11 April, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen