Wayang politik masuk ‘End Game’


DUA tahun lepas, pasukan Avengers berjaya mengalahkan Thanos, seekor makhluk asing yang bercita-cita untuk menghapuskan separuh populasi alam semesta. 

Kejayaan ini tidak dicapai dengan mudah, ia melibatkan air mata dan darah. Iron Man dan Kapten Amerika sanggup mengetepikan konflik yang mereka alami untuk mendapatkan semula apa yang mereka telah hilang ketika mereka gagal menahan kemaraan Thanos dalam Infinity War

Saya percaya wayang politik Malaysia yang bermula selepas Langkah Sheraton akan sudah memasuki babak End Game. Semua pelakon-pelakon wayang politik kita telah meletakkan buah catur di meja, dan bersedia untuk bermain secara ‘all-out’. 

Setelah setahun membawa hati yang luka, akhirnya Pakatan Harapan (PH) memilih untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri sekiranya mereka menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Keputusan ini sepatutnya diambil lebih awal, ia mampu mengelakkan kewujudan kem dalam PH. 

Perbahasan antara Dr Mahathir Mohamad atau Anwar dalam PH hanya akan melemahkan mereka. Apabila sudah ada keputusan yang bulat – dibentuk melalui mesyuarat – maka semua ahli seharusnya mematuhi kiblat yang telah ditentukan. 

PH secara sendirinya tidak akan mampu memenangi PRU15. Mereka perlu mencari teman tapi mesra. Tanpa perlu berkahwin seperti Umno-Bersatu-Pas, mereka boleh membentuk kerajaan gabungan. 

Cuma, kewujudan segelintir pemimpin PH yang sombong dan bercakap besar hanya akan membantutkan proses ini. Proses rundingan parti-parti politik memerlukan sikap terbuka dan perbincangan yang jujur – jika mahu koalisi itu wujud dan bertahan lama. 

Umno sudah ada pendirian

Siapa sangka ucapan berapi-api yang dilaungkan ketika Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) menjadikan imej Umno semakin tercalar. 

Ramai orang beranggapan Umno cuma menang sorak, kampung tergadai; kerana tiada tindakan susulan yang lebih konkrit diambil selepas PAU2020. 

Jika benar mereka sudah sepakat untuk menolak Bersatu menjelang PRU15, mereka harus bercerai. Ia umpama suami isteri yang sudah sepakat untuk bercerai, tapi masih duduk sekatil – janggal. 

Pemimpin-pemimpin Umno yang mendukung Perikatan Nasional (PN) pula kelihat semakin mendapat momentum dalam mendesak pemilihan parti dan peletakan jawatan Ahmad Zahid Hamidi.

Waktu parti politik memerintah secara solo telah berakhir. Keadaan ini bermakna Umno perlu mencari teman tapi mesra untuk membentuk kerajaan. Percayalah, semakin lama Umno menunggu, semakin ramai mereka akan kehilangan wakil rakyat. 

Mereka yang menang paling banyak kerusi pada PRU15 kelak akan menjadi ‘tuan puteri’ yang menjadi idaman setiap parti politik. Jika Umno ingin menjadi tuan puteri, mereka harus cemas dengan kedudukan mereka yang semakin melemah. 

Beberapa isu seperti kes mahkamah Najib Razak dan Zahid serta audio Anwar-Zahid akan sedikit sebanyak mencalar imej Umno. 

Bersatu akan dapat momentum

Kita tahu bagaimana Bersatu menyusun strategi politik. Ia berbeza dengan parti-parti politik yang lain. 

Mereka akan cuba mengambil seberapa banyak wakil rakyat dan ahli parti-parti politik yang menjadi lawan kepada mereka. Ia adalah norma baharu dalam politik Malaysia. 

Tidak mustahil menjelang PRU15 semakin ramai yang akan melompat ke Bersatu memandangkan mereka mempunyai sumber yang luas sebagai pemain utama dalam kerajaan. 

Sasaran utamanya sudah tentu akan berfokus kepada Umno; musuh utama yang memiliki segmen pengundi yang sama dengan mereka. 

Kini kita dapat melihat momentum itu terpancar daripada ahli-ahli Kabinet Umno yang menyokong PN. Ia adalah strategi yang baik dari Bersatu, menyerang Umno dari dalam. 

Seandainya kumpulan ini berjaya mendesak Umno untuk mengadakan pemilihan, atau Zahid meletakkan jawatan, maka sudah tentu kerajaan PN akan semakin kukuh. 

Melihat situasi politik semasa, kemungkinan pada PRU15 kita akan melihat banyak blok. Salah satu blok yang akan menonjol adalah kombinasi di antara Pejuang-Warisan-Muda. 

Calon-calon bebas berkemungkiann mempunyai peluang untuk menang kerana perpecahan undi; dan mereka juga boleh menjadi faktor untuk memecahkan undi. 

Untuk menyelamatkan dunia, Iron Man harus terkorban. Dalam wayang politik negara ini, siapa agaknya yang akan terkorban? – 10 April, 2021.

* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen