Umno lebih kuat bila parti politik lain tak keruan, kata Ku Li


Noel Achariam

Umno akan bertahan dalam pilihan raya akan datang dan kuat jika parti itu mengatur strategi dengan betul dan menawarkan manifesto yang baik untuk dipertimbangkan rakyat, kata Tengku Razaleigh Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2021.

UMNO akan bertahan dalam pilihan raya akan datang dan kuat jika parti itu mengatur strategi dengan betul dan menawarkan manifesto yang baik untuk dipertimbangkan rakyat, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata Umno masih ada peluang ketika semua parti lain dalam keadaan tak keruan. 

“Semua parti dalam keadaan tidak senang dan Umno juga berpecah. Mereka (Umno) mungkin telah membentuk puak di antara mereka, tetapi itu tidak bermaksud akan melemahkan sokongan untuk parti menyertai pilihan raya umum.

“Saya rasa kita boleh kembali bersama dan bergerak kuat bergantung pada strategi yang kita jalankan (PRU15),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada pilihan raya lalu, Umno memenangi 54 kerusi Parlimen.

Namun, jumlah kerusi Parlimen Umno menjunam apabila 15 ahli parlimennya melompat ke Bersatu, meninggalkannya dengan 39 kerusi ahli Parlimen.

Ku Li berkata semua parti politik bercelaru kerana mereka berpecah, hilang arah dan (kurang) kepimpinan.

“Orang ramai teriak mahukan jalan yang benar. Bahkan pandemik Covid-19 tidak ditangani dengan baik,” katanya.

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno masih ada peluang ketika semua parti lain dalam keadaan tak keruan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 April, 2021.

Ahli Parlimen Gua Musang itu meluahkan keyakinan bank undi Umno masih utuh dan keadaan politik semasa di negara ini tidak menggugat parti itu.

“Kita akan bekerja meyakinkan mereka kekal bersama kita dan kita akan bawa masuk pengundi baru.

“Kita nak pastikan mereka yang berumur 18 tahun ke atas akan datang menyokong kami.

“Kita nak pastikan masa depan bagi golongan muda dan kita mahu mereka turut serta dalam pilihan raya ini,” katanya merujuk kepada golongan muda berusia 18 tahun yang mungkin akan mengundi pada pilihan raya akan datang.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata mustahil melaksanakan Undi18, parti-parti politik, sejak pengumuman itu telah memberi tekanan kepada SPR agar mencari jalan mempercepatkan pelaksanaannya. – 11 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen