KPN akan jumpa menteri berhubung isu pertukaran pegawai kanan polis


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador akan berjumpa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin kerana pertukaran pegawai kanan polis adalah di bawah tanggungjawab Abdul Hamid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2021.

KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador akan berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dalam masa terdekat untuk meneruskan semula pelaksanaan pertukaran pegawai kanan polis yang ditangguhkan sebelum ini.

“Tidak ada apa-apa yang luar biasa.. tetapi di saat akhir, saya bercuti sebenarnya. Saat akhir dapat arahan (pertukaran) hendak ditangguhkan. Saya akan berjumpa dengan beliau (menteri) dan saya akan berikan penjelasan mengapa ia perlu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor, di Tapak Padang Surau An-Nur di Klang hari ini.

Semalam, satu posting facebook menjadi tular apabila ia mengaitkan penglibatan Menteri Dalam Negeri dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penangguhan itu.

“Saya akan berjumpa dengan Menteri untuk menjelaskan kedudukan saya, tindakan saya keluarkan perintah pertukaran….(pertukaran pegawai kanan polis) dilaksanakan saya sebagai Ketua Polis Negara, dalam undang-undang itu mengatakan bahawa ‘the command and control’, kawal selia PDRM adalah tanggungjawab saya,” katanya. – Bernama, 10 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen