Adakah Malaysia sebuah negara koruptokrasi?


SETELAH membaca laporan  media berikutan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan satu sindiket kartel mengendalikan lebih 150 syarikat yang memonopoli tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion, dan sebelum ini pendedahan kegiatan kartel yang bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk mengimport daging - antaranya kanggaru dan kuda yang tidak berstatus halal - untuk dijual sebagai daging halal, terpantul di fikiran saya adakah Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara koruptokrasi? 

Apa yang dimaksudkan dengan koruptokrasi ialah sistem pemerolehan dan sistem kerajaan yang sarat dengan saluran, rangkaian, rantaian dan jalan tikus dalam capaian ke arah kegiatan rasuah sama ada kecil atau besar. 

Dalam hubungan ini, adakah wujudnya aparatus negara sama ada kementerian, jabatan, unit, agensi-agensinya bersengkongkol dengan sang koruptor di luar? 

Akan tetapi jika tindakan kejahatan rasuah dilakukan para pengawai dan kakitangan kerajaan baik secara individu atau rangkaian kolektif, maka yang terbentuk nanti ialah aparatus kerajaan yang akan bertindak dengan kepelikan, ironi, anomali dan percanggahan supaya ‘amalan tumbuk rusuk’, ‘selit tepi’ atau ‘under table’ berjalan. 

Amalan dalam sistem demokrasi sebagai prinsip politik di mana kekuasaan rakyat diberi kepada kekuasaan undang-undang supaya pemimpin politik dan pegawai kerajaan yang diamanah dan dipertanggungjawabkan untuk membenteras rasuah, tetapi kini menjelma menjadi koruptokrasi kerana dikaitkan dengan penerima yang juga dikatakan terdiri daripada pegawai atau kakitangan yang berselindung di balik aparatus kerajaan. 

Oleh itu dalam sebuah negara yang digeroti dengan koruptokrasi, demokrasi juga duruskan secara ironis dan kontradiktif. Prinsip demokrasi—di mana kekuasaan berada di tangan rakyat—kini menjelma jadi ”koruptokrasi”, di mana kekuasaan politik dipegang oleh para pentadbir, sang politikus, dan kakitangan kerajaan yang perasuah, dengan rakyat sebagai korbannya. 
Peliknya, para pentabir dan kakitangan yang korup ini berselindung di balik autoriti institusi kerajaan agar mereka tidak tersentuh oleh undang-undang.

Dalam isu kartel daging import misalnya, mereka yang terlibat dikatakan pegawai kerajaan yang bersubahat dengan syarikat bukan Bumiputera menggunakan nama Islam, jika tidak silap ia adalah secara proksi dan juga beberapa syarikat Bumiputera yang berada di semua peringkat rantaian bekalan. 

Dalam hal ini sumber daging yang tidak sah yang dikesan termasuk daripada Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong, China dan Columbia.

Dalam isu monopoli tender kerajaan pula, sindiket dipercayai mendapat kerjasama “orang dalam” di kementerian dan agensi terlibat untuk memastikan syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Kartel itu didakwa akan membayar rasuah “orang dalam” untuk mendapatkan maklumat berhubung tender, termasuk spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan “masa yang sesuai” untuk menghantar borang tender.

Sejumlah besar syarikat di bawah oleh kartel itu kemudian akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan untuk “mengepung harga”.

Modus operandi kartel ialah dengan menubuhkan sebanyak 150 syarikat yang ia kuasai. Syarikat-syarikat tersebut memasuki permohonan tender. 

Semua 150 syarikat milik kartel tersebut memaparkan maklumat palsu. Maklumat palsu berkenaan seperti kelayakan akademik, sijil profesional dan penyata kewangan syarikat-syarikat milik kartel tersebut. 

Tidak dipastikan bagamanakah mereka berjaya meyakinkan Lembaga Tender Kerajaan. Akibatnya, sebanyak 354 tender kerajaan berjaya dimonopoli oleh kartel tersebut yang melibatkan projek bernilai RM3.8 bilion.

Di dalam sebuah negara koruptokrasi, jalinan hubungan antara kakitangan atau para pegawai kerajaan yang terlibat dengan perasuah digerakkan di belakang tabir dengan menyembunyikan dan sekali gus melazimkan kejahatan rasuah di sosok institusi. 

Bayangkan dalam isu kartel monopoli tender ini, sindiket telah beroperasi sejak 2014 hingga sekarang dan menumpukan kepada projek penyelenggaraan fasiliti dan projek pembangunan.

Dalam keadaan negara dikendalikan oleh ideologi koruptokrasi, soalannya, adakah perang melawan rasuah yang dilaungkan itu hanyalah sebuah utopia kerana sang penguatkuasa yang korup masih bermaharajalela, justeru dilindungi oleh institusi-instituisi dalam kerajaan. 

Maka sang perasuh akan hidup nyaman dan mewah dengan menumpang hidup di dalam institusi kerajaan sebagai parasit.

Betapa parah barah rasuah meresap dalam sistem kerajaan di negara di mana kuasa bersanding dengan rasuah dalam pernikahan yang haram tetapi halal pada pandangan mereka. Bak kata perpatah Cina, jika ikan telah busuk di kepala maka bagaimanapun ia akan merebak ke badan, cacing di perut menjalar ke ekornya. 

Apabila kepala yang berkuasa sudah dirasuahi, maka para pegawai dan orang bawah tentulah turut mencontohi kepimpinan melalui teladan. Ini baru sindiket kartel daging bagaimana pula dengan rasuah lain yang sedang berjalan berada dalam sistem kerajaan yang masih belum didedahkan. 

Sebelum ini kita telah didedahkan oleh pembongkaran kegiatan menjual MyKad kepada warga asing oleh Suruhanjaya SPRM. 

Pelanggan China itu dipercayai sanggup membayar hampir RM1.3 juta untuk mendapatkan MyKad dan pasport Malaysia, atau kenaikan 900 peratus atau RM150,000 berbanding ketika ia didedahkan BH tahun lalu.

Laporan berita menyatakan di Pulau Pinang seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara dan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ antara enam lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown atas 32 pertuduhan melibatkan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing palsu dan diubah suai.

Ini belum mengisahkan rangkaian sindiket penyeludupan pendatang asing dan mungkin banyak amalan rasuah berselindung di sebalik koruptokrasi di negara ini. 

Ini belum lagi menyebut nama-nama sang politikus yang didakwa terlibat dengan rasuah dan masih dibicarakan di mahkamah dan mereka yang telah dijatuhkan hukum oleh mahkamah. Oleh itu adakah Malaysia sebuah negara koruptokrasi? – 10 April, 2021.

* Ismail Hashim, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen