Perpaduan Ummah yang merugikan rakyat


HAMPIR sebulan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 melabuhkan tirai, tetapi perang saudara antara Umno, PAS dan Bersatu masih lagi rancak. Konflik ketiga-tiga ini seperti ‘Keluarga 69’, tunggang langgang dan sudah tidak tahu siapa kawan dan siapa lawan.  

Di tengah-tengah kemelut ini, parti-parti Melayu masih mempunyai hasrat yang besar untuk menang pilihan raya akan datang dengan majoriti dua pertiga, seterusnya ingin menjadi ‘Abang Besar’ kononnya untuk melindungi Melayu dan Islam yang dikatakan sudah berpecah dengan memperjuangkan agenda Perpaduan Ummah. 

Sentimen ‘perpaduan ummah’ yang sering dimainkan parti politik Melayu adalah projek kitar semula yang digunakan untuk menyelamatkan kantung sendiri. Perpecahan Melayu yang mereka ratibkan sebenarnya adalah adalah perpecahan parti-parti Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) yang sudah hilang prinsip perjuangan dalam membela nasib rakyat terbanyak.  

Sudah ditolak rakyat 

Realitinya,  perpaduan ummah sudah ditolak rakyat, terutama sekali orang Melayu. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Umno dan PAS cuba membawa slogan perpaduan ummah untuk meraih simpati orang Melayu agar mereka boleh menerajui Putrajaya meskipun terpalit dengan imej Kleptokrasi. Bagi memastikan agenda mengekalkan kuasa berlaku, pentadbiran Najib Razak mengubah sempadan pilihan raya untuk memastikan Umno dan PAS menang majoriti dua pertiga. Matlamatnya juga adalah membentuk kerajaan tanpa MIC dan MCA sekiranya menang PRU14. 

Namun, percaturan mereka gagal apabila majoriti pengundi (termasuk pengundi Melayu) cenderung memilih perubahan kerajaan. Dengan memainkan sentimen perpaduan ummah, Umno hanya berjaya menang 46 kerusi Parlimen di semenanjung, iaitu prestasi terburuk parti Melayu itu dalam pilihan raya. PAS hanya mendapat 18 kerusi Parlimen yang kebanyakannya di Kelantan dan Terengganu. 

Jelas sekali, perpaduan ummah yang dimainkan parti politik Melayu bukanlah selera rakyat Malaysia. Lebih banyak mereka mainkan sentimen ini, lebih banyak mereka akan hilang sokongan daripada pengundi, khsusunya orang Melayu.

Ironinya, selepas perubahan 9 Mei 2018 dan krisis pandemik, parti-parti Melayu masih tidak belajar daripada kesilapan lalu dan gagal membaca perubahan pemikiran pengundi Melayu, khususnya Bersatu yang masih setahun jagung dalam politik negara.

Bersatu tidak sedar, 13 daripada 52 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada PRU14 adalah sumbangan rakyat yang mahu menolak politik perkauman Umno dan PAS. Begitu juga kerusi parlimen dan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dibawa lari ke dalam PN adalah hasil aspirasi rakyat untuk menolak rejim Kleptokrasi, bukan atas sentimen kaum dan agama seperti perpaduan ummah. Apakah rasional Bersatu memainkan sentimen perpaduan ummah untuk kekal di Putrajaya yang sudah ditolak rakyat sebelum ini?

Zaman parti kerajaan menang sudah berlalu

Ada yang menyatakan PN berpeluang menang dalam PRU15 dengan membawa agenda perpaduan ummah dan kelebihan menjadi kerajaan persekutuan bertunjangkan Melayu-Islam. Hujah ini tidak masuk akal kerana Najib Razak dan Umno juga kalah PRU14 ketika menjadi kerajaan persekutuan dengan membawa slogan yang sama. 

Suasana politik negara hari ini pasca 9 Mei 2018 telah memecahkan tembok pemikiran bahawa parti kerajaan akan sentiasa menang dalam pilihan raya. Rakyat, khususnya orang Melayu, telah melihat politik yang berbeza dan berani menolak parti kerajaan yang difikirkanya tidak telus dan sering menyelahgunakan kuasa. 

Tidak ada sebab kukuh untuk orang Melayu mendukung parti kerajaan yang cuai menjalankan amanah diberikan seperti PN. Kecuaian kerajaan PN dalam tadbir urus dan ekonomi negara menyebabkan rakyat kian marah dan kecewa. Anak muda pula disuruhnya ‘bersyukur’ oleh menteri PN kerana mendapat pekerjaan walaupun gajinya rendah waktu pandemik. Hak mengundi anak muda pula dinafikan kerajaan PN atas faktor pandemik.  

Orang Melayu cukup terkesan dengan sikap ‘dua darjat’ kerajaan PN. Orang biasa dikenakan hukuman berat jika melanggar peraturan tetapi menteri-menteri PN, selebriti, dan VVIP sesuka hati melanggar peraturan tanpa sebarang tindakan tegas. Dengan sikap kepimpinan yang tempang ini, apakah PN mahupun Umno yakin rakyat berpihak kepada mereka untuk PRU akan datang? 

Kerajaan berfungsi untuk semua

Barah yang menjangkiti parti-parti Melayu semakin kronik. Tidak usahlah ada yang cuba menghulurkan tangan untuk membantu Umno, PAS dan Bersatu yang tidak sudah-sudah menyusahkan rakyat dan negara. Lagi mereka dibantu, lagi susah rakyat dibuatnya nanti. 

Kecelaruan parti politik Melayu ini adalah peluang terbaik untuk rakyat memikirkan semula sebuah gabungan parti politik yang efektif dan berdaya tahan memimpin negara meskipun krisis melanda. Sekurang-kurangnya, krisis pandemik telah membentuk sebuah masyarakat yang lebih kritikal, membuat perbandingan dan penilaian secara saintifik berdasarkan penemuan fakta. 

Perubahan ini akan membentuk pengundi yang lebih kritikal, terbuka, dan membuat perbandingan yang tuntas untuk memilih gabungan parti politik dan pemimpin yang boleh menerajui negara berdasarkan tawaran idea dan dasar awam dalam aspek ekonomi, politik dan kesihatan yang boleh membina semula kesejahteraan rakyat dan negara pasca krisis Covid-19 secara bersama.  

Seperti kita inginkan pandemik ini berlalu, seperti itu juga kita mahu menolak sentimen politik perpaduan ummah Umno, PAS dan Bersatu yang akan membawa Malaysia ke belakang dan menyemarakkan sifat perkauman dan agama yang boleh meletakkan negara di lembah kegagalan. 

Sukar mana pandemik dan politk hari ini, semua rakyat daripada pelbagai latarbelakang perlu berusaha memainkan peranan untuk memastikan politik sempit seperti agenda perpaduan ummah dibawa parti-parti Melayu tidak mendapat tempat dalam ruang politik negara. 

Kita sudah hampir mencapai perubahan yang diinginkan sejak 9 Mei 2018 dan usaha membina Malaysia yang lebih baik tidak seharunya terhenti ditengah-tengah jalan. Bak kata Hamka “Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang”. 

Rakyat sudah bersuara menolak agenda perpaduan ummah parti-parti Melayu pada PRU14. Adakah pada PRU15 akan datang,  rakyat akan meletakkan Umno, PAS dan Bersatu sebagai gabungan pembangkang di Parlimen kelak?– 10 April, 2021.

 

* Fakhrurrazi Rashid merupakan pembaca The Malaysian Insight. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen