Saya terpaksa percaya Dr Mahathir, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau terpaksa mempercayai Dr Mahathir Mohamad pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2021.

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini mengakui beliau terpaksa mempercayai Dr Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk bekerjasama dengan bekas presiden Umno itu.

Pemimpin-pemimpin PH juga sering diingatkan agar berhati-hati apabila berunding dengan Dr Mahathir, katanya pada forum anjuran Majlis Profesor Negara pagi tadi.

Anwar masih belum dibebaskan dari penjara semasa PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pada ketika itu konsensus di kalangan kawan-kawan dalam pembangkang khususnya Amanah dan DAP menunjukkan Dr Mahathir nampak kelihatan semua ‘ya’. Reform, ya; bebas Anwar, ya.

“Oleh itu, saya ikut konsensus…walaupun saya berat. Kalau lihat beberapa surat yang saya tulis menyebut jangan dipatuk ular dua kali.

“Itu semua dalam ungkapan Shakespeare tatkala surat saya kepada Biro Politik mengingatkan mereka, andai kata kamu rasa terpaksa bersama tolonglah ingat hal-hal sedemikian.

“Jadi ia satu kebijakan yang tidak bijak pada ketika itu. Kita faham, tetapi mungkin keadaan ketika itu sedikit memaksa. Saya tidak yakin, dan ini saya tulis,” katanya pada forum “Bicara Tokoh Bersama Anwar Ibrahim: Di Mana Dan Ke Mana Kita?” yang disiarkan langsung di Facebook hari ini. 

Anwar mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong  dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya Mohd Mohd Saiful Bukhari Azlan sebaik sahaja PH mengambil alih Putrajaya.

PH yang terdiri daripada PKR, Amanah dan Bersatu menerima Dr Mahathir dan parti pimpinannya Bersatu ketika itu menyertai gabungan itu sebelum PRU14.

Dr Mahathir sebelum itu beberapa kali hadir perbicaraan Anwar di mahkamah.

Anwar merupakan timbalan perdana menteri sebelum dipecat dari Umno dan Kabinet Dr Mahatir pada 1998 atas tuduhan rasuah dan liwat sebelum dipenjarakan pada 1999. – 10 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen