ANGKA kematian dalam serangan bunuh diri yang didakwa didalangi kumpulan militan IS di Kabul meningkat kepada 13 orang, kata pihak berkuasa dan menambah pembunuhan itu berpunca daaripada kumpulan militan di ibu negara Afghanistan.
Serangan pada petang Khamis itu mensasarkan polis yang bertempur dengan penunjuk perasaan berikutan serbuan ke atas pemilik kedai yang dituduh menjual arak dan dadah secara haram.
“Ketika kejadian, pengebom bunuh diri itu bertindak meletupkan diri di tengah-tengah orang ramai, membunuh dan mencederakan ramai orang,” kata jurucakap polis Kabul, Abdul Basir Mujahid kepada AFP.
Kesemua mangsa yang terbunuh adalah anggota polis. Sementara 18 anggota polis dan dua orang awam dilaporkan cedera, kata jurucakap timbalan menteri dalam negeri Nasrat Rahimi kepada pemberita.
“Penyerang itu datang bersama penunjuk perasaan dan mensasarkan anggota polis,” kata Rahimi dan menambah penyerang berkenaan memakai pakaian biasa ketika melancarkan serangan.
Letupan itu mengakibatkan batang pokok berhampiran tempat kejadian patah dan tingkap apartmen berdekatan juga pecah, manakala wartawan AFP yang ketika kejadian berada beberapa kilometer dari loksi terbabit turut terdengar bunyi letupan itu.
Kumpulan IS yang mula memasuki wilayah itu pada 2015 meningkatkan serangan mereka di Kabul, termasuk ke atas kemudahan keselamatan dan kawasan minoriti syiah.
Serangan pada khamis itu merupakan serangan besar pertama yang dilancarkan militan IS di Kabul tahun ini, diikuti dengan beberapa serangan hendap di ibu negara itu sejak beberapa minggu lalu.
Pada Disember sahaja, IS mengaku bertanggungjawab terhadap tiga serangan yang membunuh ramai orang awam.
Serangan terburuk berlaku pada minggu lalu apabila pengebom bunuh diri meletupkan diri dalam pusat kebudayaan Syiah di Kabul, membunuh 41 orang dan mencederakan lebih 80 yang lain.
Kawalan keselamatan di Kabul diperketatkan sejak 31 Mei tahun lalu apabila sebuah trak berisi bom memusnahkan suku diplomatik, menyebab 150 orang terbunuh dan kira-kira 400 orang cedera kebanyakannya orang awam. Namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu. – AFP, 5 Januari, 2018.
Komen