Saya tulis buku tentang Equanimity supaya rakyat tak lupa, kata peguam


Raevathi Supramaniam

Berjudul "Arrest of The Superyacht Equanimity: How Malaysia Reclaimed What Was Hers", Sitpah mengambil masa hampir setahun mengarang buku setebal 180 halaman yang memperincikan kerumitan kes itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 April, 2021.

PEGUAM Sitpah Selvaratnam yang mengetuai pendakwaan terhadap penyitaan dan akhirnya penjualan kapal layar super Equanimity sedang menerbitkan sebuah buku yang memperincikan pengalamannya dalam lipatan sejarah agar rakyat Malaysia tidak lupa.

Berjudul “Arrest of The Superyacht Equanimity: How Malaysia Reclaimed What Was Hers”, Sitpah mengambil masa hampir setahun mengarang buku setebal 180 halaman yang memperincikan kerumitan kes itu.

Sitpah, 56, seorang peguam maritim dan komersial dengan pengalaman lebih 30 tahun memutuskan untuk menulis buku itu kerana merasakan keadaan di sebalik penangkapan dan penjualan kapal layar itu harus direkodkan.

The Equanimity adalah kapal layar super yang dibeli ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, dengan harga AS$250 juta, yang didakwa menggunakan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kapal layar itu adalah salah satu daripada beberapa barang mewah lain seperti lukisan dan harta benda yang disita oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Pada Februari 2018, pihak berkuasa Indonesia menyerahkan kapal layar super itu kepada rakan sejawatnya dari Malaysia. Sitpah hadir ketika Equanimity berlabuh di pusat pelayaran Boustead pada 7 Ogos, bagi memberikan waran untuk menangkap kapal itu.

“Ia harus dicatat dengan cara tertentu, skala penipuan itu sebenarnya adalah pengkhianatan terhadap rakyat Malaysia. Ahli keluarga saya berkata saya patut menulisnya.

“Itu adalah satu sebab besar untuk menulis selain yang ianya sangat jarang berlaku. Sebab lain adalah kerana saya tak mahu rakyat Malaysia lupa ada masa dalam sejarah bila mana integriti sangat penting.

“Kita sangat bersatu padu dalam keutamaan kita untuk membawa Malaysia kembali ke jalan kesejahteraan. Jika tidak bermaksud apa-apa sekarang, tidak menjadi masalah. Saya mahukannya buat keturunan,” kata Sitpah kepada The Malaysian Insight.

Dalam buku itu, beliau turut menulis tentang tujuh pelajaran maritim yang beliau pelajari semasa menyelesaikan kes itu dan telah menjalin tiga tema dalam buku itu.

“Terdapat tiga tema yang membahas keseluruhan buku. Salah satunya jelas sekali adalah sudut maritim kerana sangat luar biasa untuk lancarkan kes berdasarkan penipuan dan pelanggaran kewajipan fidusiari selain mengesan wang yang dicuri melalui 32 lapisan dan seterusnya berkaitan kapal layar.

“Selama beratus-ratus tahun kita ada cara tertentu untuk melakukannya, menjaga rahsia nilai, melalui pelaksanaan tender umum, dll.

“Ketika kita buat di sini, kerana eksklusifnya kapal layar super, ia tak akan berfungsi, jadi ia buat kita mempersoalkan bagaimana sepatutnya kita buat.”

Tema buku yang lain adalah kesatuan, yang menurutnya sangat dekat di hatinya. Beliau telah melakukan kes ini secara pro bono dan telah merasakan kegembiraan, kepuasan melakukannya demi negara. Melalui buku itu, beliau mahu orang ramai turut berkongsi perasaan yang dialaminya.

“Kita satu pasukan yang berjaya kerana kita melakukannya demi kepentingan negara kita.

“Satu tujuan bersama itu bermaksud kita menggunakan tenaga kita untuk meningkatkan Malaysia. Dan apabila kamu ada pasukan antara agama yang pelbagai budaya, kreativiti untuk menghasilkan semua idea ini sangat luar biasa.

“Kita sangat terinspirasi untuk menghasilkan idea-idea ini kerana ada rasa gembira. Kita mendapat kegembiraan dengan hanya bekerja untuk negara kita,” katanya.

Tema ketiga berkisar mengenai kepemimpinan wanita. Sitpah berkata beliau percaya “dengan sungguh-sungguh tidak ada batasan untuk apa yang dapat dicapai oleh seseorang wanita kecuali apa yang kita percaya dalam diri kita sendiri”.

Dalam buku itu, Sitpah juga memasukkan dokumen-dokumen yang diajukan di mahkamah, yang menurutnya merupakan sumber berharga bagi pengamal undang-undang. – 9 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen