Mayat suami isteri ditemui dalam rumah di Bangsar, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Ketua polis Brickfields ACP Anuar Omar berkata, pasangan suami isteri itu - seorang lelaki Malaysia berusia 46 tahun dan isteri Thailand berusia 38 tahun - telah membunuh diri dengan membakar arang di bilik tertutup di premis sewa mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 April, 2021.

MAYAT sepasang suami isteri ditemui di sebuah rumah bandar tiga tingkat di Jalan Medang Serai, Bangsar hari ini kerana membunuh diri, kata polis hari ini.

Ketua polis Brickfields ACP Anuar Omar berkata, pasangan suami isteri itu - seorang lelaki Malaysia berusia 46 tahun dan isteri Thailand berusia 38 tahun - telah membunuh diri dengan membakar arang di bilik tertutup di premis sewa mereka.

Pasangan yang telah berkahwin sejak 2018 menyewa premis secara dalam talian pada 6 April.

“Siasatan kami mandapati pasangan itu menyalakan arang di bilik mereka, menutup pintu dan tingkap, dan kemudiannya tidur.

“Pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan pasangan itu telah meninggal dunia kerana kesukaran bernafas antara jam 6 pagi hingga 7 pagi pada 9 April.

“Kami juga menemui nota bunuh diri di tempat kejadian, yang ditujukan kepada keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, seorang saksi yang rapat dengan pasangan itu berkata mereka tidak pernah berkongsi kesulitan mereka dengan sesiapa pun, dan mereka tidak mempunyai musuh.

Anuar berkata, siasatan awal juga menunjukkan tidak ada perbuatan jahat atau unsur jenayah berkaitan kematian mereka.

Ketua polis itu juga berkata mayat mereka ditemui oleh ejen harta tanah yang telah pergi ke rumah itu setelah gagal menghubungi telefon mereka.

Beliau telah mengambil kunci rumah dari pemilik rumah dan menemui mayat ketika beliau memasuki tempat itu.

Beliau kemudian memanggil polis, dan membuat laporan polis sekitar jam 12.33 tengah hari.

Dilaporkan sebelum ini pegawai polis dilihat mengeluarkan dua mayat dari rumah bandar itu, menarik sekitar 20 orang ramai di situ.

Pada jam 2.30 petang, sekitar 20 pegawai dilihat menjaga premis itu ketika mereka mengeluarkan mayat dari rumah.

Sumber yang dekat dengan pasangan itu berkata lelaki itu pernah bekerja sebagai broker namun menghadapi masalah kewangan.

“Beliau penunggang dan peminat motosikal. Dulu pernah bekerja sebagai broker dalam beberapa perniagaan tetapi menghadapi beberapa masalah kewangan.

“Beliau tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu dan sangat mengejutkan apabila mendapat tahu mengenai berita itu,” kata lelaki itu.

Semakan di Facebook mendapati penghormatan telah diberikan di laman Royal Enfield Motorcycle Owners Club Malaysia (REMO) ke atas seorang lelaki yang dipercayai sebagai si mati.

Gambar lelaki itu dengan seorang wanita yang dipercayai isterinya turut dikongsi di halaman itu.

Lelaki itu dikenali sebagai Subramaniam Rajadurai sementara wanita itu dikenali sebagai Nan. – 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen