Dua pemandu teksi motosikal haram di Thailand ancam penumpang didakwa 


Contoh teksi motosikal di Bangkok, Thailand. Dua pemandu teksi motosikal haram di Bangkok, ditahan dan dituduh kerana memeras serta mengancam penumpang semasa cuti Tahun Baharu. – Gambar AFP, 5 Januari, 2018.

DUA pemandu teksi motosikal haram di Bangkok, ditahan dan dituduh kerana memeras serta mengancam penumpang semasa cuti Tahun Baharu, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Penguasa balai polis Bang Sue, Seksit Supha-uan berkata, pihak polis meminta mahkamah menolak permohonan suspek agar dibenar diikat jaminan untuk mengelakkan gangguan terhadap bahan bukti.

Di samping itu, suspek juga dikatakan mengancam penumpang dengan mengenakan tambang tidak adil serta berlebihan ketika perkhidmatan pengangkutan menerima permintaan tinggi pelancong sempena cuti tahun baharu.

Polis mempunyai bukti kukuh seperti saksi dan rakaman video yang diambil penumpang.

Kedua-dua suspek didakwa kerana pemerasan, penyalahgunaan kenderaan, mengendalikan kenderaan tanpa lesen memandu yang sah, pengelakan cukai kenderaan dan tidak membawa salinan pendaftaran kenderaan.

Ramai penumpang mengemukakan aduan kepada polis tentang sekumpulan pemandu teksi motosikal yang menyalahi undang-undang, mengancam dan memeras sehingga 450 baht atau sekitar RM56 untuk satu kilometer.

Kedua-duanya mengaku bersalah dan mengatakan mereka telah beroperasi selama setahun dengan mensasarkan mangsa yang dalam perjalanan dari wilayah ke wilayah semasa cuti panjang.

Menurut polis, kedua-dua suspek juga mempunyai banyak rekod jenayah. – Bernama, 5 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen