Polis akan ambil tindakan berhubung surat rentas negeri palsu, kata Ismail Sabri 


Noel Achariam

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob memberi amaran sesiapa yang didapati menggunakan dokumen palsu untuk rentas negeri akan diambil tindakan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 April, 2021.

POLIS akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang didapati menggunakan surat rentas negeri daripada pihak berkuasa yang palsu, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau turut memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar tidak membeli mana-mana dokumen palsu untuk rentas negeri. 

“Polis akan ambil tindakan terhadap mereka yang guna dokumen palsu. 

“Sekiranya mahu rentas negeri, dapatkan kebenaran daripada polis di balai polis,” katanya pada sidang media di Hotel Royale Chulan hari ini. 
 
Ismail mengulas mengenai surat rentas negeri kosong yang didakwa dikeluarkan oleh Balai Polis Seksyen 6 yang disahkan menggunakan tandatangan palsu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, siasatan awal dijalankan terdapat pemalsuan tandatangan penolong ketua polis balai Seksyen 6.

Ismail Sabri juga berkata pihak berkuasa juga akan mengambil tindakan terhadap balai polis yang didapati mengeluarkan dokumen palsu.

“Bagaimana surat kosong dikeluarkan dengan cop polis. Ini bertentangan dengan prosedur polis.”– 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen