Henti spekulasi menteri Umno diminta lepas jawatan, kata Ismail Sabri


Noel Achariam

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata PAU 2020 sudah memutuskan menteri Umno akan kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 April, 2021.

HENTIKAN spekulasi mengenai menteri Umno diminta untuk melepaskan jawatan mereka dalam Kabinet oleh parti, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 memutuskan para menteri akan kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Tidak perlu spekulasi lain (untuk berhenti) seperti yang diputuskan oleh PAU.

“PAU adalah pihak berkuasa tertinggi dalam parti. Keputusan mereka adalah muktamad,” katanya pada sidang media di Hotel Royale Chulan hari ini.

Pada 28 Mac, Presiden Umno Ahmad Zahid Hanidi berkata sebahagian besar perwakilan pada PAU 2020 menyokong gesaan agar semua menteri dan anggota yang mempunyai jawatan dalam kerajaan berhenti jika pilihan raya umum tidak diadakan tidak lama lagi.

Zahid dalam ucapan penggulungannya juga mencabar Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk melepaskan jawatannya, dan memanggilnya sebagai “makhluk perosak” dan “tikam belakang” kerana terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau berkata menteri Umno tidak akan duduk di jawatannya sekarang kalau bukan kerana Umno dan harus menunjukkan kesetiaan kepada parti, bukannya jawatan mereka.

Mengenai ketika pemilihan parti Umno akan diadakan, Ismail Sabri berkata mengikut perlembagaan, pemilihan untuk penggal baru mesti diadakan sebelum Jun.

Bagaimanapun katanya, pemilihan parti boleh dilanjutkan 18 bulan lagi sekiranya pilihan raya umum diadakan tahun ini.

“Terserah kepada Majlis Tertinggi Umno untuk meneruskan pemilihan sebelum Jun atau dilanjutkan.” – 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen