Pemimpin Muda yakin ahlinya masih komited dengan perjuangan


Raevathi Supramaniam

PEMIMPIN Muda menolak desas-desus bahawa sokongan terhadapnya sudah semakin berkurangan, sebaliknya menegaskan parti itu masih sangat komited terhadap perjuangannya.

“Semua penyokong utama, 13 pengasas bersama dan penaja masih bersama Muda,” kata Pengasas Bersama Dr Thanussha Francis Xavier kepada The Malaysian Insight.

Beliau merujuk kepada seorang Ahli Jawatankuasa Muda Selangor, Chiang Kah Vern yang menulis di Twitter menyuarakan rasa tidak senangnya ketika dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp.

Chiang menyenaraikan alasan beliau meninggalkan parti itu, dengan mendakwa Muda tidak jujur untuk cuba mewujudkan kepelbagaian, tiada hala tuju dan angkuh kerana enggan bekerjasama dengan sekutu politik lain seperti Pakatan Harapan (PH).

“Kah Vern terlibat dalam jawatankuasa negeri dan berlaku perselisihan. Ia pasti dapat ditangani dengan lebih baik jika di pihak kami, saya rasa tidak adil jika mengeluarkan seseorang dari kumpulan WhatsApp begitu sahaja. Mereka seharusnya berkomunikasi dengannya.”

“Dari segi tokenisme dan semua itu, ia bukan masalahnya. Kami benar-benar percaya pada apa yang kami lakukan. Beliau berhak atas pendapatnya, tetapi saya tidak tahu apa dimaksudkannya.

“Kami mempunyai lebih 30,000 ahli, pasti lebih bagus jika kami dapat mengekalkan mereka semua, tetapi saya tidak rasa ia mengejutkan,” kata Thanussha.

Beliau menegaskan parti tetap bersatu, sambil menambah ia tidak melaksanakan agenda peribadi.

“Kami semua melakukan ini bukan untuk agenda peribadi. Kami meninggalkan apa yang sedang kami buat, kerjaya profesional, perniagaan, ahli akademik.

“Ini adalah tugas yang sukar, satu-satunya sebab kami melakukan ini adalah kerana minat. Kami semua sangat bersatu dan jelas dalam hal ini.

“Terdapat ramai individu yang masuk dan mengubah komitmen mereka kerana ia tuntutan dan banyak orang masih meneruskan pekerjaan harian mereka atau mempunyai keluarga. Kami fleksibel kerana politik adalah sukarela. Kami tidak mengecualikan sesiapa pun daripada sebarang proses,” katanya.

Sementara itu, peguam Lim Wei Jiat, yang juga pengasas bersama parti itu, berkata walaupun ramai menyokong Muda pada awalnya, itu tidak bermaksud mereka ingin menjadi sebahagian daripada operasi harian parti itu.

“Terdapat ramai ketua perniagaan dan masyarakat sivil yang menyokong Muda sebagai parti sejak awal.

“Tetapi itu tidak bermaksud mereka ingin terlibat dalam menjalankan dan memimpin parti, ia tidak mengapa.

“Saya tidak fikir ada yang ‘meninggalkan’ atau ‘menjauhkan’ diri daripada parti, ia kerana mereka hanya memilih untuk fokus pada peranan mereka sekarang sambil menyokong Muda dari luar.” – 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen