KUMPULAN ibu bapa sekolah Cina meminta agar pematuhan yang lebih baik terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mencegah penyebaran jangkitan susulan kluster berkaitan dengan pendidikan semakin meningkat.
Antara 20 Mac dan 4 April, sebanyak 20 kluster Covid-19 dilaporkan melibatkan institusi pendidikan.
Dari Januari, ketika sekolah dibuka sehingga 25 Mac, kira-kira 41 kluster Covid-19 dikesan dari institusi pendidikan termasuk 11 sekolah menengah, 10 sekolah rendah serta pra-sekolah.
Bagaimanapun Presiden Jiao Zong atau Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia Cheah Lek Aee tidak bersetuju dengan cadangan orang ramai yang mahu sekolah ditutup sekali lagi.
“Sekolah perlu meneruskan kelas fizikal dan tidak hanya bergantung pada pembelajaran dalam talian.
“Kita tidak pasti sama ada pelajar mengikuti kelas dalam talian dan mereka sudah lama tidak bersekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Cheah berkata sekolah adalah tempat yang selamat selagi SOP dipatuhi.
Sekolah juga perlu mematuhi SOP bagi meyakinkan ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat.
“Sekolah melaksanakan tanggungjawab dengan baik apabila mengarahkan pelajar makan di kelas dan meminimumkan hubungan.
“Saya percaya kebanyakan jangkitan itu berasal dari luar sekolah, ketika anak-anak keluar bersama ibu bapa atau daripada ahli keluarga yang dijangkiti,” katanya.
Selagi sekolah bertindak pantas dalam melaporkan kes positif kepada Kementerian Pendidikan dan memastikan peraturan diikuti oleh pelajar yang merasa tidak sihat agar keadaan dapat dikawal, tambah Cheah.
Katanya, ia bukan keputusan sepenuhnya oleh kementerian untuk menutup sekolah tetapi berdasarkan keadaan di sekolah tertentu.
“Apabila kes di sekolah dilaporkan kepada Kementerian Pendidikan, mereka perlu segera bertindak dan menasihati sekolah tentang langkah-langkah yang perlu diambil, seperti adakah sekolah harus ditutup.
“Keputusan itu perlu dibuat dengan cepat dan tidak ditangguhkan selama dua atau tiga hari. Jika tidak, aka nada spekulasi dan ibu bapa akan risau,” katanya.
Sementara itu Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Cina Jia Zong mengingatkan ibu bapa untuk memastikan bahawa anak-anak mereka mematuhi SOP Covid-19 di dalam dan di luar sekolah.
Presiden Jia Zong Ronnie Wong berkata ini adalah kaedah terbaik untuk meneruskan pembukaan sekolah.
“(Kita) tidak boleh tunggu sehingga tidak ada kes sebelum menyambung persekolahan. Bahkan kerajaan tidak dapat mengagak bila jangkitan akan hilang sepenuhnya,” katanya.
Wong berkata dari lawatannya sendiri ke sekolah-sekolah tertentu, beliau melihat ada pelajar terlupa menjaga jarak fizikal kerana teruja melihat rakan sekelas mereka.
“Anda tidak boleh menyalahkan mereka, kerana kadang-kadang orang dewasa pun sering lupa memakai topeng muka atau menjaga jarak. Adalah menjadi tanggungjawab semua orang untuk mencegah jangkitan,” katanya.
Wong tidak bersetuju dengan cadangan agar pelajar kembali ke pembelajaran dalam talian.
“Pembelajaran dalam talian ada kekurangan termasuk kurang akses terhadap peranti dan internet. Sebaliknya kelas fizikal penting untuk perkembangan pelajar,” katanya.
Wong juga meminta agar sekolah bijak ketika menangani kes Covid-19.
Sekolah tidak boleh mendedahkan nama atau maklumat mengenai pelajar yang dijangkiti untuk mencegah stigma, diskriminasi dan reaksi yang tidak perlu daripada orang ramai serta ibu bapa.
“Sekolah perlu berhati-hati ketika menangani kes. Ia akan membahayakan pelajar sekiranya ada stigma,” katanya.
Baru-baru ini salah satu kluster Covid-19 yang paling meluas melibatkan sekolah adalah Paloh Ramai di Kelantan. Itu antara 20 kluster pendidikan yang dikesan baru-baru ini.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba baru-baru ini berkata bahawa kluster tersebut juga melibatkan guru dari beberapa sekolah termasuk SK Seri Ketereh, SK Kok Lanas, SK Pangkal Kalong dan SMK Kok Lanas.
Kluster sektor pendidikan lain juga turut dilaporkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Sementara itu Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata sekolah hanya akan ditutup sekiranya sebilangan besar guru dijangkiti dan operasi serta pembelajaran terganggu. – 9 April, 2021.
Komen