Syarikat sindiket projek Putrajaya pernah menang anugerah JKR, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM setakat ini menahan lapan individu dengan tujuh daripadanya direman enam hari sehingga 10 April kerana terlibat dalam dalang utama sindiket yang memonopoli projek kerajaan. – Gambar SPRM, 8 April, 2021.

SYARIKAT milik dalang utama sindiket yang memonopoli projek kerajaan, yang dibongkar oleh agensi antirasuah baru-baru ini, pernah terpilih jadi naib johan Anugerah Kontraktor Cemerlang Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, kata sumber agensi antirasuah.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight syarikat milik ahli perniagaan yang menjadi ketua sindiket itu sehingga sekarang masih menjalankan beberapa projek pengurusan kemudahan bangunan di kompleks kerajaan di Putrajaya.

“Sindiket ini memang terkenal dalam kalangan kontraktor Bumiputera kerana selalu memenangi tender JKR sejak beberapa tahun lalu. Sekiranya mereka masuk tender, pasti tiada peluang untuk syarikat lain.

“Tetapi ia tidak dimenangi secara sah sebaliknya dengan bantuan ‘orang dalam’ termasuk juruukur agensi kerajaan yang ditahan kelmarin,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber, aduan dan maklumat daripada kumpulan kontraktor juga banyak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket projek ini “mengepung harga” selain memonopoli projek kerajaan.

“Antara tender projek kerajaan yang pernah dimenangi syarikat ini adalah penyelenggaraan fasiliti bangunan, housekeeping, landskap, kawalan serangga, kejuruteraan awam dan banyak lagi di kawasan Putrajaya.

“Malah, sindiket ini digelar sebagai kontraktor pilihan JKR disebabkan pengaruh yang kuat dalam agensi itu dan Kementerian Kemajuan Luar Wilayah,” katanya.

Ketua sindiket ini juga tidak dikenali umum tetapi terkenal dalam kalangan pembida tender, kontraktor, bahagian perolehan jabatan kerajaan dan JKR Putrajaya, tambah sumber.

“Semakan mendapati syarikat utama dan beberapa anak syarikat didaftar atas nama seorang ‘Datuk’, adik beradik serta anak lelakinya manakala baki sehingga 150 syarikat pegangan sindiket itu didaftar atas nama proksi,” katanya.

Syarikat itu digunakan bergilir-gilir untuk menyertai tender pelbagai agensi dan kementerian sehingga dianugerahkan 345 projek kerajaan sejak 2014, tambbah sumber.

Pada Isnin SPRM mendedahkan ia menyita akaun bank dan harta bernilai hampir RM150 juta hasil siasatan setakat ini ke atas kegiatan sindiket yang menguasai projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, siasatan juga menemui wang tunai berjumlah RM3.5 biluon dalam simpanan individu bergelar ‘Datuk’ yang dipercayai mengetuai sindiket.

SPRM juga menyita kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta selain hartanah termasuk banglo, rumah kedai serta pejabat bernilai RM29 juta.

Serbuan ke rumah individu berumur 47 tahun itu juga menemukan kereta dan kapal mewah, selain dua buah helikopter, kata sumber.

Pihak berkuasa juga membekukan 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM100 juta, tambah sumber.

SPRM setakat ini menahan lapan individu dengan tujuh daripadanya direman enam hari sehingga 10 April.

Mereka juga menahan seorang juruukur bahan Gred 48 yang disyaki menerima rasuah RM1.2 juta untuk membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek kepada ketua sindiket untuk membantu sindiket menyediakan dokumen tender.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam pada itu berkata ada kemungkinan lebih ramai lagi mereka yang terlibat akan ditahan dalam waktu yang terdekat. β€“ 8 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen