SABAH dan Sarawak tidak mustahil akan berpisah dari Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang jika pemimpin di Semenanjung tidak memberi perhatian kepada isu membabitkan dua negeri itu, kata Pandikar Amin Mulia.
Bekas speaker Dewan Rakyat itu berkata Sabah dan Sarawak mungkin akan mengambil tindakan tertentu jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.
“Saya bimbang isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dasar kabotaj yang sedang dibincangkan di Sabah sekarang.
“Jika pemikiran semua pemimpin di Semenanjung masih tidak berubah, saya jamin 15 tahun dari sekarang kedua-dua negeri mungkin tidak berada lagi dalam kerajaan Malaysia,” katanya selepas Mesyuarat Kawasan Pertumbuhan Timur Asean Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di Kota Kinabalu.
Pada 2019, menteri pengangkutan ketika itu Anthony Loke berkata kerajaan akan mempertimbangkan semula isu liberalisasi dasar kabotaj di Sabah, Sarawak dan Labuan berikutan pemerhatian yang menyeluruh oleh Kementerian Pengangkutan.
Dasar kabotaj dimulakan pada 1980 tetapi dimansuhkan pentadbiran Barisan Nasional pada 1 Jun 2017, ekoran kebanyakan penggiat industri berpendapat dasar itu perlu dipersalahkan kerana harga barangan yang lebih tinggi di Malaysia Timur disebabkan kos penghantaran.
Selain itu, Pandikar, yang juga utusan khas BIMP-EAGA Sabah berkata isu MA63 juga perlu diberi perhatian.
Katanya, apa yang berlaku terhadap ekonomi Sabah dan Sarawak sangat mengecewakan.
“Kedua-dua negeri perlu diberi perhatian kerana ini bukan perkara remeh,” katanya, sambil menambah Putrajaya mesti serius terhadap kepentingan Malaysia Timur. – 7 April, 2021.
Komen