Game of Thrones musim akhir tidak disiarkan tahun ini


HBO semalam mengumumkan musim terakhir Game of Thrones tidak akan disiarkan tahun ini. – Gambar AFP, 5 Januari, 2017.

SIRI TV popular Game of Thrones tidak akan disiarkan tahun ini, umum rangkaian televisyen kabel berbayar, Amerika Syarikat (AS) HBO semalam, mengesahkan khabar angin menyatakan siri itu akan hanya muncul mungkin pada 2019.

HBO bagaimanapun tidak menyebut secara khusus bila sebenarnya musim kelapan dan terakhir mega drama itu akan disiarkan, menjadikan kali ini penantian paling lama terpaksa ditunggu peminatnya yang hendak tahu siapa akhirnya pemegang takhta besi itu.

Berita itu dialu-alukan media hiburan, sementara pengkritik berkata tempoh lama itu akan bermakna kualiti lebih tinggi menanti bagi musim akhir siri berkenaan.

Laporan mengenai penangguhan siaran Game of Thrones itu mula tersebar pada pertengahan tahun lalu.

“Sebagai siri paling hebat dalam sejarah HBO, rangkaian TV berkenaan berharap untuk mengekalkan siri itu bagi tempoh lebih lama dan ia sesuatu yang bagus,” kata James Hibberd dari Entertainment Weekly.

“Tambahan pula, musim ketujuh siri itu disenaraikan dalam anugerah Emmy pada tahun ini, maka HBO boleh fokus kepada usaha promosi dan kempen untuk Emmy, bukannya melancarkan musim baharu.”

Game of Thrones atau singkatannya GoT dibintangi Kit Harington, Emilia Clarke, Peter Dinklage dan beberapa nama pelakon hebat lain, menceritakan tentang politik yang melibatkan pergolakan kerajaan Westeros.

Ia mengisahkan beberapa keluarga bangsawan yang merebut untuk memegang kuasa Iron Throne, dengan siri ketujuh menunjukkan puak “Jembalang Putih” mengetuai jutaan hantu memulakan misi pencerobohan dari Utara.

Drama itu yang pernah memenangi anugerah Emmy sebelum ini berjaya menawan hati lebih 20 juta penonton di AS bagi setiap episod, yang diadaptasikan daripada novel bertajuk “A Song of Ice and Fire” tulisan George R.R. Martin bagi musim keenam.

David Benioff dan D.B. Weiss, penggerak utama siri itu mengumumkan pada 2016, 13 episod akan disiapkan bagi dua musim terakhir GoT. Sebanyak tujuh episod disiarkan pada musim panas tahun lalu sementara bagi musim terakhir, hanya berbaki enam episod. – AFP, 5 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen