Siapa calon PM Umno, soal Tun Faisal 


Nabihah Hamid Chan Kok Leong

Tun Faisal Ismail Aziz berkata parti Barisan Nasional tidak pernah kekurangan pemimpin.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 April, 2021.

UMNO perlu mengenal pasti calon perdana menteri sekiranya mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa Perikatan Nasional (PN), kata pengkritik parti itu Tun Faisal Ismail Aziz. 

“Ini mestilah orang yang tiada ada kes mahkamah, tidak ada skandal. Yang berimej lebih bersih yang boleh menarik sokongan rakyat kepada Umno,” kata timbalan ketua Umno bahagian Putrajaya itu pada sesi temubual Insight Talk semalam. 

Tun Faisal yang sebelum ini digantung dari Umno selama enam tahun kerana didakwa memfitnah presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti Barisan Nasional tidak pernah kekurangan pemimpin.  

Diminta mengenal pasti beberapa calon yang mungkin boleh dicalonkan oleh Umno sebagai calon perdana menteri, Tun Faisal berkata: “Kalau ikut individu, Ismail Sabri layak dan berwibawa. Timbalan Presiden (Mohamad Hassan) tapi beliau kena bertanding di Parlimen.”

“Dan ada Khairy Jamaluddin juga, walaupun beliau agak muda,” kata Tun Faisal, yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutian Annuar Musa, yang dilihat dalam Umno sebagai pro Bersatu dan PN. 

Tun Faisal yang juga bekas pengarah unit propaganda Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas), bersetuju dengan pemimpin lain seperti Khairy bahawa Umno perlu adakan pemilihan baharu bagi memutuskan perkara itu. 

“Jika kita mahu bertanding pilihan raya, kita perlu ketengahkan muka baharu. Oleh itu perlu ada pemilihan parti baharu. 

“Muka-muka lama bermasalah terutamanya yang memberi liabiliti pada parti sepatutnya gentleman enough untuk membuka ruang kepada muka baru.”

Tun Faisal Ismail Aziz digantung keahlian dalam Umno selama enam tahun kerana didakwa memfitnah presiden parti Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 April, 2021.

Zahid berdepan pelbagai kritikan sejak perhimpunan agung parti itu dua minggu lalu. 

Ada sesetengah pengkritiknya yang lebih berpihak kepada PN berkata, pada perhimpunan itu beliau mengatur untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Malah, perhimpunan itu juga secara tidak langsung memaksa PAS untuk lebih memilih Bersatu berbanding Umno, selepas parti itu memaksa parti Islam berkenaan menyatakan pendirian. 

Antara kritikan dan serangan terhadap Zahid termasuk isu melivatkan 87 pertuduhan rasuah terhadapnya, gesaan pemilihan baharu dan perpecahan perpaduan Islam dengan memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan PAS. 

Pecahan pro-PN dalam Umno juga percaya bahawa Muhyiddin Yassin merupakan calon perdana menteri terbaik.

Tun Faisal berkata terdapat langkah yang perlu diambil oleh Umno menjelang pilihan raya umum akan datang selepas perhimpunan agung memutuskan untuk menghentikan semua kerjasama politik dengan Bersatu pada PRU15.

Beliau berkata walaupun dengan keputusan itu, Umno belum menyatakan secara jelas untuk memenangi pilihan raya tanpa PAS atau Bersatu. 

“Umno perlu cari jalan untuk menangi lebih banyak kerusi jika mahu bertanding pada pilihan raya akan datang tanpa Perikatan Nasional. 

“Apa lagi selepas ini selepas ia memutuskan untuk tidak bersama Anwar (Ibrahim), tiada DAP dan tiada Bersatu pada perhimpunan agung Umno?

“Bolehkah Umno menang lebih banyak kerusi tanpa mengorbankan prinsipnya?”

Katanya, cara terbaik untuk Umno menang adalah dengan bersama PN. 

“Itu sebabnya kita tolak usaha untuk politik ‘baharu’, yang bermakna bekerjasama dengan PKR dan DAP.” – 7 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen