Perlu lebih banyak kajian untuk rawat pesakit 'Long Covid', kata doktor


Raevathi Supramaniam

Pakar perubatan sedang mengumpul data mengenai bekas pesakit Covid-19 yang mengalami kesan penyakit itu yang melebih tiga bulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2021.

MASIH belum dapat difahami sepenuhnya mengapa sebilangan individu menderita masalah kognitif dan fizikal jangka panjang selepas bertarung dan pulih daripada jangkitan Covid-19, kata perunding penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar Chidambaram.

Keadaan yang dikenali sebagai “Long Covid” berlaku apabila individu yang pulih berterusan mengalami kesan virus jangka panjang.

“Ini masih belum difahami dengan baik. Mereka keluar dari hospital tetapi mereka tidak pernah sihat sepenuhnya. Kami tidak tahu mengapa ia berlaku dan kami masih mengkajinya.

“Mereka lesu, cepat letih dan ada di antaranya mengalami sesak nafas serta akan mengalami sakit otot dan dada.

“Sebilangan orang mengalami ‘brain fog’, yang menyebabkan pemikiran mereka tidak secergas seperti sebelumnya, mereka lambat dalam berfikir,” kata Suresh.

Suresh menambah mereka yang mengalami “Long Covid” bukanlah selalunya berkaitan dengan separah mana kes Covid-19 dialami, atau faktor usia.

“Tidak semestinya mereka menderita penyakit teruk. Mereka mungkin menderita penyakit Covid-19 yang ringan, ia tidak sering berkaitan dengan keparahannya.

“Umur tidak menjadi isu (dalam kes Long Covid). Tetapi wanita lebih ramai mengalaminya berbanding lelaki,” katanya.

Tempoh penyakit

Kata Suresh, sebilangan besar individu yang menderita Covid-19 akan pulih dalam tempoh tiga bulan. 

Mereka yang masih mengalami kesan penyakit ini selepas lebih 12 bulan yang menjadi kebimbangan.

“Tiga hingga enam bulan yang kami maksudkan adalah jangka pendek, enam hingga 12 bulan jangka sederhana dan lebih daripada 12 bulan adalah jangka panjang.

“Kebanyakan orang menjadi lebih baik dalam tempoh tiga bulan. Anda menghidap penyakit yang teruk dan memerlukan sedikit masa untuk menjadi lebih sihat.

“Sehingga tempoh tiga bulan, ia masih sebahagian daripada penyakit dan kami menerimanya. Hanya bersabar dan teruskan rutin anda dan anda akan menjadi lebih sihat

“Terdapat kumpulan kecil yang berlarutan melebihi tiga bulan. Itulah kumpulan yang kami perhatikan dan ingin ketahui mengapa dan bagaimana ia berlaku,” kata Suresh.

Suresh berkata pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke wad akan disusuli oleh unit pemulihan selepas mereka keluar.

Pihak hospital masih dalam proses mengumpulkan data mengenai seberapa kerap gejala ini dan berapa lama ia berlanjutan.

“Data dan sains masih berkembang, kami masih tidak tahu cara terbaik untuk menyokongnya.”

Suresh berkata hospital pada awalnya tidak menyedari “Long Covid” kerana mereka tidak melakukan susulan secara sistematik dengan setiap pesakit pada mulanya. 

Ini juga disebabkan oleh hakikat yang beberapa pesakit tidak tampil untuk meminta pertolongan, dan menganggap gejala hanya sementara.

Dr Suresh Kumar Chidambaram berkata pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke wad akan disusuli oleh unit pemulihan selepas mereka keluar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2021.

Sebilangan besar pesakit yang mula disusuli pihak hospital secara sistematik adalah pesakit gelombang ketiga, yang dimasukkan dari November-Disember dan seterusnya.

“Kami membuat susulan apabila diabetes dan tekanan mereka tidak terkawal, penyakit jantung mereka memerlukan rawatan lebih lanjut,” katanya.

“Kami tidak membuat susulan terhadap mereka sebagai Long Covid. Jika Long Covid kami akan mengemukakan soalan yang berbeza,” katanya.

Suresh menambah pihak hospital berhasrat memulakannya terhadap 6,368 pesakit pertama yang dirawat di Sungai Buloh dan bertanya kepada mereka satu set soalan untuk lebih memahami mengenai “Long Covid” dan mengumpul data.

“Ia bukan selalunya gejala tidak berdaya. Kecuali anda bertanya semua orang soal selidik yang standard, anda tidak akan medapat semuanya.

“(Kita perlu) Pelajari lebih lanjut mengapa ia berlaku sebelum kita dapat memberikan rawatan betul untuk pesakit.”

Suresh berkata bagi sebahagian besar pesakit yang menderita Long Covid, sistem akhirnya hilang. 

Bagaimanapun, sebilangan kecil mungkin mengalami kesan kurang upaya.

Setakat ini, hanya sekelompok kecil individu yang mengalami Long Covid, tetapi Suresh mengingatkan angka ini juga berkaitan dengan jumlah jangkitan yang dilaporkan negara itu.

“Sekiranya jumlah orang yang dijangkiti sangat besar, ia (Long Covid) akan menjadi jumlah yang besar.

“Ia menjadi kebimbangan kita mungkin mempunyai banyak orang yang sangat kurang upaya kerana ‘Long Covid’, tetapi kita perlu mempelajari lebih lanjut mengenai penyakit ini,” tambahnya.

Malaysia semalam mencatatkan 1,300 jangkitan baharu menjadikan jumlah kes kepada 353,329 sejak bermulanya wabak ini. Jumlah kematian setakat ini berjumlah 1,300. – 7 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen