Notis kebankrapan untuk aibkan saya, kata Najib 


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata notis kebankrapan yang diberikan kepadanya bermotif politik dan hanya cubaan untuk mencemarkan reputasinya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2021.

NOTIS kebankrapan yang dikemukakan ke atas saya tidak lain hanya usaha untuk menganiaya dan mencemar reputasi saya, kata Najib Razak.

Meluahkan perkara itu di Fscebook, bekas perdana menteri berkata, notis berkenaan adalah bermotif politik dan hanya untuk mengawal musuh.

“Penganiayaan seperti ini, sama ada yang bermotifkan politik, peribadi dan sebagainya, bukan sahaja sebahagian dari perang taktikal untuk mengawal dan mendominasi musuh.

“Saya akan menjadikan pengalaman ini sebagai penunjuk arah dalam perjalanan saya membela diri dan mengembalikan kepercayaan rakyat. Yang lebih penting lagi, saya akan menggunakan kemampuan yang ada untuk menampilkan rayuan terbaik,” kata Najib.

Beliau turut membidas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana menyerahkan notis itu semalam, iaitu pada hari pertama rayuannya berhubung sabitan kes SRC International didengar.

Najib didapati bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan rasuah yang dikaitkan dengan SRC International. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Menurutnya tindakan LHDN itu semalam hanya untuk memalukan dirinya.

“Setelah selesainya prosedur mahkamah semalam, saya ditemui wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri di kediaman peribadi saya di mana saya diberikan notis muflis berkaitan dengan ringkasan penghakiman cukai pendapatan saya dari 2011 hingga 2017!

“Mungkin tidak ramai yang melihat bahawa penganiayaan ini memberi kesan jangka panjang dan parut yang tidak akan sembuh kepada mangsa,” katanya.

LHDN mengemukakan notis kebankrapan ke atas Najib kerana gagal menyelesaikan cukai tertunggak sebanyak RM1,692,872,924.83, termasuk denda kerana lewat.

Pada Julai tahun lalu, Najib diarahkan mahkamah untuk membayar jumlah bayaran cukai yang didakwa tidak dibayar bagi tempoh antara 2011 hingga 2017.

LHDN memfailkan tuntutannya di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 pada 2019 ke atas Najib, yang juga menteri kewangan, bagi bayaran cukai pendapatan tambahan bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Bache bersetuju dengan permohonan LHDN di bawah Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan, mahkamah tidak akan mengemukakan apa-apa pengakuan seperti sama ada jumlah cukai yang dicari itu berlebihan, dinilai dengan tidak betul atau di bawah rayuan.

Hakim memutuskan untuk menyokong permohonan LHDN bagi penghakiman ringkas, yang melangkaui perbicaraan penuh termasuk keterangan saksi.

Hakim mengatakan bahawa Najib gagal membayar jumlah keseluruhan, termasuk denda bayaran lewat, dan bahawa defendan harus berdepan hukuman yang sama seperti semua orang di bawah undang-undang.”

Najib berkata beliau tidak akan mengalah daripada membersihkan namanya dan akan terus berjuang untuk rakyat.

“Saya tidak akan tunduk kepada individu yang menyalahgunakan undang-undang negara dan saya akan terus bersuara demi rakyat.

“Saya telah meminta peguam untuk mendapatkan perintah penangguhan hukuman,” katanya. – 6 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen