KEMPEN program imunisasi Covid-19 kebangsaan boleh dipercepatkan sekiranya petugas barisan hadapan kesihatan dihantar ke tempat kerja seperti kilang bagi memudahkan suntikan, kata Persatuan PKS Malaysia.
Menurut persatuan itu, sekiranya lebih 80% pekerja syarikat mendaftar untuk vaksinasi, pendekatan ini perlu diambil kerana ia memudahkan pekerja dan akan mencapai objektif kempen imunisasi kerajaan.
Presidennya Michael Kang Hua Keong berkata ini langkah yang logik kerana kilang merupakan antara penyumbang kluster Covid-19 tertinggi, dan mempunyai potensi untuk merebakkan koronavirus kerana pekerja tinggal dan bekerja dalam kontak rapat antara satu sama lain.
Langkah untuk vaksinasi secara kolektif meliputi majoriti pekerja akan lebih efektif, katanya.
“Hanya dengan memastikan semua divaksin dan pekerja tidak dijangkiti, syarikat boleh meneruskan operasi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata Kang kepada The Malaysian Insight.
Kang berkata proses untuk membawa program vaksinasi ke tempat kerja perlu dilaksanakan secara ringkas.
Persatuan itu juga turut bersedia dengan mengumpul data syarikat yang sanggup bekerjasama dalam vaksinasi di tempat kerja secara besar-besaran.
“Selagi majikan meminta pekerja berdaftar untuk vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera dan lebih 80% berbuat demikian, mereka boleh menghantar senarai nama syarikat dan pekerja kepada kita dan kita akan membantu menyelaras dengan Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI).”
Kang berkata sekurang-kurangnya 150 syarikat menghantar data pada akhir bulan lalu dan dijangka lebih banyak lagi akan berbuat demikian.
Membawa vaksinasi ke tempat kerja boleh dilakukan tidak kira sama ada syarikat itu kecil atau besar, tambahnya.
“Bagi syarikat dan kilang yang mengambil bahagian dalam kempen imunisasi, ia bermakna masa untuk pekerja beratur di hospital dan klinik kerajaan untuk mendapatkan suntikan dapat dijimatkan.
“Bagi syarikat besar, melakukan perkara ini kepada semua pekerja akan memperlahan dan menjejaskan operasi perniagaan,” kata Kang.
Presiden Persatuan Pemborong Pakaian Malaysia Ang Say Tee juga senada Kang, bahawa program imunisasi Covid-19 perlu dibawa ke tempat kerja.
“Cadangan ini bagus, suntikan dapat diberi di kilang dan pekerja tak perlu bercuti.
“Ini akan menjimatkan wang dan masa, dan seterusnya meningkatkan produktiviti.
“Syarikat tidak mahu operasi terganggu tetapi pada masa yang sama juga mahu mencegah penularan wabak,” katanya.
Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC) Khoo Yeow Chong juga bersetuju dalam hal ini, yang baginya sangat praktikal dilaksanakan.
“Kebanyakan pengilang dalam industri perabot menggaji pekerja asing. Khidmat seperti ini membolehkan pekerja tempatan dan asing mendapat vaksin sekali gus, serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat,” katanya. – 7 April, 2021.
Komen