Bersatu Kedah hairan, Umno tiada tokoh lain layak jadi PM


Najib Razak hadi di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini. Beliau berdepan pelbagai tuduhan mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah tinggi dalam kes SRC. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 April, 2021.

BERSATU Kedah menyelar rakan kongsinya di negeri itu yang masih bercita-cita agar bekas perdana menteri Najib Razak kembali ke jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu Kedah Khairul Anuar Ramli turut mempersoalkan kewajaran Umno Kubang Pasu untuk berbuat demikian kerana melihat Najib tidak lagi layak.

Malah usaha itu juga membelakangkan presiden parti pada masa ini, Ahmad Zahid Hamidi yang secara lazimnya menjadi calon perdana menteri Umno.

“Sikap Umno kubang Pasu ini seolah-olah memperlihatkan bahawa Umno tidak ada tokoh lain yang layak dan juga menafikan kewibawaan Zahid sebagai presiden umno dan juga calon perdana menteri.

Umum sedia maklum Najib sedang berhadapan pelbagai tuduhan mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah tinggi dalam kes SRC.

“Najib juga merupakan individu yang menyebabkan negara kita berhutang berbilion ringgit dalam skandal 1MDB sehingga negara kita dikenali sebagai negara kleptokrasi.

“Apakah relevannya cadangan yang dibuat Umno Bahagian Kubang Pasu sehingga sanggup membuat cadangan sebegini?

“Adakah Umno Bahagian Kubang Pasu ada menerima apa-apa daripada Najib untuk maksud tersebut?”

Beliau menghentam cadangan diusulkan Ketua Umno Kubang Pasu Ahmad Zaini Jaapar yang melihat Najib masih berpengaruh dan wajar dipilih semula menjadi perdana menteri.

“Saya percaya Najib ada pengaruh 70% (dalam Umno), Najib sudah lalui semuanya, kalau kita nak kata orang lain, saya tak nampak siapa lagi kerana beliau ada sifat sebagai pemimpin,” dakwanya.

Dalam kenyataan disiarkan Astro Awani itu, Zaini juga menganggap Najib berpengalaman dan tahu cara untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno.

“Beliau tidak meninggalkan perjuangan (parti). Persepsi orang (kepada beliau) kerana ada pihak yang melontarkan (tuduhan) tidak baik dan ada orang ikut,” ujarnya.

Beliau mencadangkan demikian selepas rakan kongsi Umno dalam Barisan Nasional (BN), MIC, menuntut parti itu mengemukakan nama pemimpinnya yang layak menjadi perdana menteri.

Gesaan oleh Naib Presiden MIC, C Sivarraajh itu muncul selepas Umno mengumumkan akan bertanding dengan lambang BN dan meninggalkan kerjasama Perikatan Nasional dalam PRU15.

Saranan sama disuarakan Presiden MIC, SA Vigneswaran yang menuntut BN memutuskan calon perdana menteri sekiranya ingin bertarung sendirian dalam PRU15.

MIC dalam perhimpunan agungnya pada minggu lalu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.

Para pemimpin BN dilaporkan akan mengadakan mesyuarat semalam, antara lain bagi membincangkan hala tujunya, namun pertemuan itu kemudian dilaporkan tidak berlaku. – 6 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen