6,000 pendatang tanpa izin dihantar pulang sejak 1 Januari 2021


Seramai 3,581 pendatang tanpa izin telah ditahan bermula 1 Januari hingga Ahad lepas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2021.

JABATAN Imigresen telah menghantar pulang seramai 6,013 pendatang tanpa izin ke negara asal dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Dr Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata langkah itu membolehkan kerajaan melakukan penjimatan perbelanjaan yang melibatkan kos hampir RM100 sehari bagi menanggung seorang pendatang tanpa izin di negara ini.

“Ini tidak termasuk kos bagi menghantar pulang mereka… dengan penghantaran pulang ini, kita berjaya selamatkan duit kerajaan. Setakat ini, masih ada kira-kira 18,694 pendatang lagi di depot tahanan kita.

“Selain itu, seramai 3,581 pendatang tanpa izin telah ditahan bermula 1 Januari hingga Ahad lepas dengan 285 daripada jumlah itu melibatkan tangkapan di Pahang,” katanya ketika berucap sempena Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Kuantan hari ini. 

Turut hadir Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan dan Pengarah Imigresen Pahang Muhammad Hatta Kassim. 

Ismail juga berkata setakat 21 Mac lepas, sejumlah 82,340 petugas barisan hadapan agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri sudah menerima vaksin.

Beliau turut memaklumkan kadar pematuhan prosedur operasi standard Covid-19 yang dicatatkan di Pahang ialah 95 peratus. – Bernama, 6 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen