Polis Indonesia cari rakyat Malaysia tipu penjual pinang


Seorang rakyat Malaysia, Harjid Singh didakwa melarikan wang milik peniaga pinang di Jambi, Indonesia. – Gambar fail AFP, 5 Januari, 2017.

POLIS Tanjungjabung Barat di Jambi sedang mengesan seorang ahli perniagaan rakyat Malaysia yang didakwa melarikan wang sebanyak AS$1.5 juta daripada peniaga pinang tempatan, lapor Jakarta Post.

Ketua polis ADG Sinaga berkata polis meminta imigresen menghalang suspek, Harjid Singh yang juga presiden syarikat pemprosesan pinang, PT Sari Nurto, keluar dari Indonesia.

“Polis sedang melakukan siasatan lanjut. Setakat ini 12 individu yang membuat laporan polis sudah disoal siasat,” katanya dipetik daripada Jakarta Post.

Polis berkata sebuah gudang dimiliki syarikat itu di kampung Sungai Sare, daerah Bram Itam turut disita sebagai langkah keselamatan.

Menurut Jakarta Post, kaporan pertama terhadap dakwaan melarikan wang itu difailkan penghujung Disember lalu, selepas peniaga mendakwa syarikat berkenaan tidak memberikan bayaran mereka.

Seorang peniaga, Andi Nawir berkata dia mengalami kerugian 350 juta rupiah selepas menjual buah pinang kepada syarikat itu sejak enam bulan lepas.

Katanya, dia berminat menjualnya kepada suspek kerana syarikat itu membelinya pada harga tinggi, iaitu antara 20,000 dan 22,000 rupiah sekilogram, lebih tinggi berbanding harga pasaran 16,000 rupiah sekilo.

“Syarikat itu biasanya membuat bayaran selepas tiga kali penghantaran. Setiap penghantaran, had dibenarkan ialah 10 tan,” kata Andi, menambah dia membuat laporan polis bersama peniaga lain selepas tidak menerima bayaran. – 5 Januari, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen