Umno akan kecundang jika bergerak solo PRU15, kata Annuar Musa


Alfian Z.M. Tahir

Kalau salah jalan yang dipilih, Umno mungkin akan kecundang, kata Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2021.

UMNO akan kecundang jika tetap memutuskan untuk bergerak sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Annuar Musa.

Malah keyakinan Umno dipersoalkan bekas setiausaha agung parti itu dalam satu wawancara di Facebook malam tadi.

“Kalau salah jalan yang dipilih, Umno mungkin akan kecundang ataupun Umno tidak akan berjaya.

“Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) mesti menawarkan winning formula Umno yang dia pimpin. Selepas pimpinan presiden terdahulu yang menyebabkan parti hilang kerajaan, maka presiden yang mengganti ini patutnya mengangkat kita semula kepada kedudukan tinggi, bukannya menerima kekalahan.

“Maka amatlah penting presiden menawarkan formula untuk menang. 

“Saya khuatir apabila kononnya dikatakan Umno sudah cukup kuat, cukup popular, bertanding solo pun boleh menang 70-80 kerusi. Setakat pengalaman yang ada pada saya, Umno bergerak secara solo tidak boleh membentuk kerajaan,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.

Dalam wawancara bersama Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan sebelum ini, Annuar berkata parti Melayu itu tidak boleh bertanding sendirian kerana landskap politik hari ini tidak sama seperti 20 tahun lalu.

Katanya, sudah sampai masa Umno membentuk kerjasama dan persefahaman dengan parti-parti Melayu-Islam lain sebagai persedian PRU15, dan menjadi tanggungjawab Umno untuk menyatukan ummah.

Annuar sebelum ini sering menegaskan bahawa Umno bersama Bersatu dan PAS perlu bekerjasama pada PRU15 untuk memastikan mereka menang 149 kerusi yang kebanyakannya di kawasan majoriti Melayu.

Dalam perhimpunan parti munggu lalu, perwakilan Umno menyerahkan kepada budi bicara Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk membuat keputusan bilakah tempoh yang sesuai untuk parti itu menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin Yassin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya mencabar seorang menteri Umno agar letak jawatan, selepas parti Melayu itu memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau juga mengingatkan mereka bahawa jawatan menteri dan lain-lain dalam kerajaan yang disandang sekarang adalah kerana dukungan Umno.

“Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional. Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang-benderang sedang menanti kita di hujung terowong,” katanya. – 6 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen