Wakil rakyat, menteri kongsi pengalaman suntik vaksin Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula 17 April ini. Kerajaan menyasarkan memberi suntikan kepada 9.4 juta rakyat. – Gambar EPA, 7 April, 2021.

KETIKA Malaysia sedang bersiap sedia untuk memasuki fasa kedua program imunisasi Covid-19, wakil rakyat yang juga antara 700,000 petugas barisan hadapan yang menerima suntikan pada fasa pertama berkongsi pengalaman masing-masing.

Ahli Parlimen dan menteri yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata mereka mengalami sedikit rasa tidak selesa dan kesan sederhana, tetapi tiada yang serius.

Mereka turut menasihati masyarakat umum supaya mendaftar bagi mendapatkan suntikan untuk membolehkan negara ini mewujudkan imuniti kelompok secepat mungkin.

Mengenang kembali pengalamannya, Menteri kesihatan Dr Adham Baba berkata beliau mengalami tindak balas ringan.

“Sakit di lengan di mana ia disuntik dan saya demam sedikit. Sekejap saja dan kemudian saya sihat sepert biasa,” kata ahli Parlimen Tenggara berusia 58 tahun itu.

Dr Adham menggesa rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan suntikan vaksin, bagi memastikan matlamat mewujudkan imuniti kelompok tercapai.

“Dengan imuniti kelompok, kita juga dapat melindungi mereka yang tidak layak menerima suntikan vaksin. Pada masa sama, imunisasi juga mencegah jangkitan dan kematian akibat Covid-19.”

Vaksin itu sendiri tidak akan menyebabkan jangkitan Covid-19. Bagaimanapun, menerima dos lengkap vaksin itu akan membantu mengurangkan kesan jangkitan seirus dan kematian akibat komplikasi, katanya.

Menteri kesihatan Dr Adham Baba berkata beliau mengalami tindak balas ringan dan demam sedikit selepas menerima suntikan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2021.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata kesan sampingan yang dialaminya selepas suntikan vaksin hanya sedikit rasa penat dalam sehari dua.

Ditanya adakah beliau ragu-ragu untuk mengambil suntikan, ahli Parlimen Iskandar Puteri berusia 80 tahun itu berkata tidak ada rasa seumpama itu.

“Saya nasihatkan semua orang mendapatkan suntikan vaksin untuk keselamatan diri dan orang tersayang,” katanya.

Lim berkata walaupun masih banyak persoalan tentang aspek tidak diketahu vaksin itu, adalah lebih baik mengambilnya untuk mengakhiri pandemik ini dan merangsang pemulihan ekonomi secepat mungkin.

Sementara itu, Menteri Air dan Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau menerima suntikan dos pertama pada 24 Mac di Klinik Kesihatan Putrajaya.

“Hanya rasa sedikit sakit ketika disuntik, tetapi esoknya sudah tidak sakit dan keadaan kembali normal.

“Saya dijadualkan menerima dos kedua pada 14 April,” katanya.

Berkenaan persiapan sebelum menerima suntikan, Tuan Ibrahim berkata beliau dinasihatkan untuk menonton video tentang proses suntikan vaksin.

Fasa kedua program imunisasi Covid-19 akan bermula 17 April ini.

Kerajaan menyasarkan untuk memberi suntikan kepada 9.4 juta individu, terdiri daripada kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah kesihatan kronik. – 7 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen