SEBUAH syarikat penerbangan India menggantung dua juruterbang kanannya selepas mereka bergaduh dan meninggalkan kokpit semasa penerbangan dari London ke Mumbai pada 1 Januari lalu, lapor AFP.
Jet Airways kini menyiasat dakwaan seorang juruterbang lelaki menampar juruterbang wanita selepas berlaku satu pertengkaran hangat ketika pesawat sedang di udara.
Menteri Penerbangan Awam India, Ashok Gajapati Raju memberitahu Parlimen semalam beliau sudah mengarahkan satu siasatan terperinci yang segera oleh Jabatan Penerbangan Awam.
Menurut The Times of India, juruterbang wanita itu adalah ketua juruterbang manakala yang lelaki pembantu juruterbang.
Kejadian berlaku ketika pesawat membawa 324 penumpang itu berada di ruang udara Iran-Pakistan, kira-kira 2 jam 45 minit sebelum sampai ke destinasi tujuan, lapor The Indian Express.
Media di India memetik kenyataan jurucakap Jet Airways menyifatkan pergaduhan itu sebagai “salah faham”.
Menurut Times of India, juruterbang wanita itu meninggalkan kokpit dalam keadaan menangis selepas mendakwa ditampar oleh juruterbang lelaki.
Selepas dipujuk, dia setuju untuk kembali ke kokpit tetapi kemudian meluru keluar sekali lagi, lapor akhbar itu. – AFP, 5 Januari 2018
Komen