Kumpulan berisiko tinggi paling banyak terima manfaat vaksin Covid-19, kata doktor 


Raevathi Supramaniam

Perunding penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar Chidambaram vaksin adalah kunci utama bagi mengelakkan sistem penjagaan kesihatan negara terjejas.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 April, 2021.

KUMPULAN berisiko tinggi seperti mereka yang berusia di atas 60 tahun dan orang yang mempunyai komorbiditi akan mendapat paling banyak manfaat daripada vaksin Covid-19, kata perunding penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar Chidambaram.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa vaksinasi kumpulan berisiko tinggi ini juga akan memastikan bahawa mereka tidak akan menjejaskan sistem penjagaan kesihatan jika terdapat gelombang jangkitan lain.

“Bagi kami, ada tiga jenis keberkesanan vaksin: vaksin untuk mencegah kemasukan ke hospital, jangkitan, gejala ringan dan mencegah penularan.
 Apabila melibatkan keberkesanan vaksin untuk mencegah kemasukan ke hospital, yang bermaksud mencegah penyakit yang teruk, kita tahu semua vaksin melakukan ini hampir 100%.

“Itu sebabnya kami mengatakan kita vaksinkan kesemua mereka berusia 60 tahun ke atas. Mereka yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan merekalah yang sakit tenat. Mereka yang akan menjejaskan sistem hospital sehingga kita memerlukan perintah kawalan pergerakan (PKP),” kata Suresh. 

Katanya, rakyat Malaysia lebih muda yang menderita penyakit seperti diabetis, tekanan darah tinggi dan masalah jantung risikonya adalah sama dengan mereka berusia 60 tahun.

“Kelebihan memberi vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi adalah hospital tidak akan cepat sesak, kita tidak akan kehabisan alat bantuan pernafasan,” kata Suresh. 

“Pusat risiko rendah kita mungkin akan penuh namun tak mengapa, kita masih ada banyak ruang. Namun kita hanya boleh membuka katil pada jumlah yang terhad di ICU. Vaksinasi sangat berguna untuknya. Kesemua vaksin menghalang daripada kemasukan ke hospital.”

Pada 18 Mac tahun lalu, pemerintah menguatkuasakan PKP untuk membendung penyebaran jangkitan Covid-19 di negara ini. PKP kedua dilaksanakan pada Januari tahun ini apabila kes di negara ini melebihi 2,000 sehari dan sistem penjagaan kesihatan berdepan ancaman kesesakan.

Pada masa ini, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Sarawak masih berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), sementara sekatan perjalanan antara negeri masih dikuat kuasa walaupun kes Covid-19 di negara ini terus berada di atas angka 1,000.

Program imunisasi

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin.

Di bawah program berkenaan, kerajaan menyasarkan 80% populasi negara bersamaan 26 juta individu untuk menerima suntikan vaksin secara percuma.

Fasa kedua program imunisasi ini dijadual bermula 17 April ini, dengan sasaran 9.4 juta penerima membabitkan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi.

Sehingga 28 Mac, seramai 7.2 juta individu telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. 

Walaupun kadar pendaftaran penerima vaksin Covid-19 perlahan, Suresh yakin lebih ramai akan berbuat demikian.

“Lebih ramai orang disuntik vaksin, lebih ramai golongan atas pagar akan ikut serta.

“Di luar negara, berjuta-juta orang mendapatkan suntikan vaksin. Kita sedang mengumpulkan banyak data, yang akan digunakan semasa pelaksanaan program.

“Dengan mengambil suntikan, anda bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi juga orang tersayang. Kita perlu berganding bahu sebagai satu negara dan lihat apa yang berlaku kepada hidup kita semua disebabkan Covid-19. Bagaimana ia menjejaskan bukan hanya kesihatan, tetapi juga ekonomi,” katanya.  – 6 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen