Kerjasama MCA-Gerakan tak akan kembalikan undi Cina kepada BN


Gan Pei Ling Liow Sze Xian

(Dari kiri) Hou Kok Chung, Ong Kah Chuan, Liang Teck Meng dan Dominic Lau Hoe Chai pada sidang akhbar MCA dan Gerakan di Wisma MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam. Kedua-dua parti akan bekerjasama pada pilihan raya akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Januari, 2018.

PAKATAN di antara parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan tidak akan memperoleh semula undi Cina di negara ini, kata pengkritik.

Ini kerana, kedua-dua parti Cina itu tidak dapat mengatasi masalah utama yang dihadapi masyarakat itu, termasuk isu tadbir urus seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, salah urus ekonomi serta kenaikan kos sara hidup, kata penganalisis.

“Setiap pilihan raya akan ada pelbagai peristiwa perpaduan yang hampir sama. Sebelum ini berlaku tusnami politik pada 2008, ketika zaman (bekas presiden) Dr Lim King Yaik,” kata Tan Seng Keat daripada Merdeka Center For Opinion Research.

“Ia tarikan untuk memperlihatkan perpaduan dan memberi semangat kepada jentera pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” kata Tan yang merupakan pengarah penyelidik tinjauan undi bebas.

“Saya ragu-ragu sama ada pakatan ini akan mengubah keputusan pilihan raya,” beritahu Tan kepada The Malaysian Insight.

MCA dan Gerakan akan mengadakan perhimpunan bersama di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur Sabtu ini bagi menguatkan kerjasama mereka sempena PRU14.

Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong positif dengan kerjasama MCA dan Gerakan bagi mengikis pandangan negatif berkenaan hubungan mereka selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2018.

Mereka juga dijangka mengumumkan butiran pakatan yang dibuat.

Kedua-dua parti secara tradisinya memberikan undi Cina kepada BN namun mereka mendapat keputusan teruk pada 2013 apabila BN hilang undi popular buat pertama kali.

Pengundi Cina menyumbang 50.21% atau 2.92 juta undi kepada undi popular yang diraih Pakatan Rakyat pada 2013.

MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi negeri yang dipertandingkan. Manakala Gerakan pula hanya menang satu kerusi persekutuan dan tiga kerusi negeri.

Musuh mereka, DAP menang 38 daripada 51 kerusi Parlimen dan 95 daripada 103 kerusi negeri yang dipertandingkan.

DAP juga berjaya merampas Pulau Pinang daripada Gerakan pada 2008 dan mengekalkannya pada 2013. Pulau Pinang sebelum ini dikuasai Gerakan dari 1969 hingga 2008.

Pada November tahun lalu, Najib mencabar MCA untuk menang sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen pada PRU14 untuk mengekalkan tiga jawatan Kabinet yang dipegang parti itu.

Presiden Gerakan Mah Siew Keong berkata, pihaknya yakin akan dapat merampas kembali Pulau Pinang.

Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong memberitahu The Malaysian Insight, kerjasama MCA-Gerakan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak memandangkan sebelum ini mereka digambarkan sering bertelingkah.

“Kami perlu menyokong antara satu sama lain. MCA perlukan sokongan Gerakan, begitu juga Gerakan,” kata Wee.

Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng pula berkata ini bukanlah kali pertama mereka bekerjasama.

“Kami sudah bekerjasama sejak dulu lagi,” katanya, menepis spekulasi mengatakan kerjasama itu diarahkan oleh Pengerusi BN Najib Razak.

Kapal karam dan proksi

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata MCA dan Gerakan perlu membuktikan kepada pengundi ia boleh boleh menjadi pembangkang yang efektif di Pulau Pinang jika bercita-cita untuk merampas kembali negeri ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2018.

Menurut Tan, ramai orang Cina masih melihat MCA dan Gerakan sebagai proksi Umno, iaitu parti Melayu BN.

Beliau meramalkan sekiranya berlaku sedikit perubahan daripada pengundi Cina kepada BN dalam pilihan raya akan datang, ia tidak boleh diabaikan.

Perubahan sedemikian akan datang daripada penyokong tradisi (setia) kedua-dua parti yang mengundi pembangkang pada 2013 yang mengharapkan perubahan kerajaan.

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata MCA dan Gerakan mesti bekerjasama untuk menyiasat Umno berhubung isu ekstremisme kaum, pembaharuan pendidikan dan menggesa sistem pilihan raya yang adil.

“Saya rasa, kalau mereka boleh menunjukkan perkembangan berkenaan hal-hal ini di peringkat nasional, mereka akan mendapat peluang lebih tinggi untuk memenangi semula sebahagian sokongan, daripada hanya bekerjasama semata-mata untuk menentang DAP,” kata Ong.

Tambah beliau, kedua-dua parti masih belum menunjukkan mereka boleh menjadi pembangkang yang efektif di Pulau Pinang.

“Ia akan lebih dipercayai kalau mereka boleh bekerjasama dengan Umno dan MIC untuk menghasilkan dasar alternatif mengenai bagaimana mereka akan mentadbir Pulau Pinang jika berjaya berkuasa semula,” kata Ong.

Contohnya, Pakatan Harapan menghasilkan bajet alternatif dan sekarang sedang mengusahakan manifesto untuk PRU14.

Naib Pengerusi DAP Selangor Hannah Yeoh juga kritis terhadap kerjasama MCA-Gerakan.

“Sebuah kapal yang sedang karam bersama sebuah lagi kapal dalam keadaan yang sama bukanlah penyelamat. Mereka masih tidak faham yang pengundi sudah menolak mereka kerana tidak mampu melawan Umno,” kata Yeoh.

Beliau berkata, kerjasama MCA dan Gerakan tidak akan membawa perubahan kepada senario politik negara melainkan mereka dapat menjelaskan kepada pengundi mengenai usaha untuk menyiasat penyalahgunaan kuasa dan rasuah Umno seperti skandal 1Malaysia Development Berhad. – 5 Januari, 2018.

Naib Pengerusi DAP Selangor Hannah Yeoh berkata kerjasama MCA dan Gerakan tidak akan membawa perubahan kepada senario politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kaum Cina tak sokong BN kerana tak sokong segala kesalahan dibuat oleh UMNO. Itulah pembetulan kena buat dulu jika mau kaum Cina pulang sokong MCA dan Gerakan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan