Telefon bimbit peribadi dilarang di West Wing


White House mengumumkan kakitangan dan pelawat tidak lagi dibenarkan menggunakan telefon bimbit peribadi di West Wing, nadi utama pusat pentadbiran eksekutif Amerika Syarikat. – Gambar AFP, 5 Januari, 2017.

WHITE House semalam mengumumkan kakitangan dan pelawat tidak lagi dibenarkan menggunakan telefon bimbit peribadi di West Wing, nadi utama pusat pentadbiran eksekutif Amerika Syarikat (AS) itu.

Setiausaha White House Sarah Sanders berkata larangan itu berkuat kuasa minggu depan.

Katanya, arahan itu dikeluarkan atas sebab keselamatan, namun tindakan itu dilakukan ketika kekecohan berhubung ulasan mengenai Presiden Donald Trump dan keluarganya oleh bekas pakar strategi kanan White House, Steve Bannon.

“Kawalan keselamatan dan integriti sistem teknologi di White House keutamaan bagi pentadbiran Trump.

“Kakitangan boleh menjalankan urusan menggunakan peranti dikeluarkan kerajaan dan terus bekerja keras bagi pihak rakyat AS,” kata Sanders.

West Wing menempatkan Pejabat Oval presiden dan pejabat kakitangan pembantu rapatnya.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Trump berulang kali mengecam kebocoran maklumat kepada media daripada pasukannya.

Bagaimanapun, pendedahan terkini dalam buku bertajuk “Fire and Fury: Inside the Trump White House” oleh wartawan Michael Wolff, menyebabkan Trump berkata, Bannon “hilang akal”. – AFP, 5 Januari, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen