Memperbetul pandangan Dr Mahathir tentang DAP


Izmil Amri

DALAM reaksi kepada soalan pemberita tentang kerjasama Umno-DAP, Dr Mahathir Mohamad menjawab seperti berikut:

“Saya telah bekerjasama dengan DAP dan parti itu ada kala ekstrem tapi kita boleh bersama-sama dengan mereka.

“DAP juga perlu sedar (Malaysia) negara berbilang kaum. Anda tak boleh kerja untuk kaum sendiri saja,” katanya lagi.

Rakaman jawapan Tun dalam bahasa Inggeris kepada wartawan tersebut saya ulang dengar beberapa kali, dan meski berusaha menahan diri – “la budda” kata orang Arab, tidak boleh tidak – saya harus menyatakan rasa tidak setuju dengan jawapan Tun di atas.

Sejak duduk bersama Lim Kit Siang menandatangani Deklarasi Rakyat, Tun pernah hadir ke beberapa acara DAP dan melihat sendiri bagaimana parti itu jauh bersalahan dengan andaian beliau selama ini. Apa yang ekstrem, barangkali Tun boleh perjelaskan lain kali.

Namun, tidak seperti parti Cina MCA, DAP adalah sebuah parti berbilang kaum yang tidak memperjuangkan kepentingan kaum tertentu. Kalau tak, saya tak masuk DAP.

Tun juga mendengar sendiri lagu parti DAP, dan hampir saja ikut menyanyi bersama kerana tidak seperti MCA, lagu parti kami dinyanyikan dalam Bahasa Kebangsaan.

Ya, memang parti ini ramai orang Cina. Tidak perlu kita nafikan. Puncanya kerana DAP lahir daripada keperluan rakyat terpinggir yang tidak diwakili taukey-taukey yang masuk MCA, atau anak-anak raja dan orang berada yang masuk Umno. Namun tentu sekali itu tidak bermakna DAP secara automatis menjadi parti yang mengutamakan kepentingan kaum Cina semata-mata.

Mungkin ya lah, dari sudut pandang Tun ketika dalam kerajaan; pimpinan DAP banyak bekerja dalam kerangka menjaga kepentingan minoriti bukan-Melayu.

Nak salahkan mereka pun tak boleh juga, kerana sebagai sebuah negara kita masih lagi mengekalkan amalan pecah perintah politik teritorial yang memaksakan pemimpin Melayu menjaga kepentingan Melayu, pemimpin yang Cina menjaga kepentingan orang Cina dan seterusnya.

Demikian itu adalah amalan Barisan Nasional yang menyusup ke dalam pentadbiran Pakatan Harapan. Itu sepatutnya tidak berlaku.

Hari ini malah ada pemimpin PAS yang mahu mengubah sempadan kawasan pilihan raya atas alasan mahu menguntungkan masyarakat Melayu dan Islam. Manakala proses rundingan kerusi pun masih lagi memikirkan komposisi kaum. Kalau lebih separuhnya Melayu, maka parti Melayu yang bertanding di situ. Kalau campuran, bagi ke PKR atau Amanah. Kalau majoriti Cina, nah, ambil ke DAP.

Penyudahnya Tun sendiri melihat DAP sebagai parti gantian MCA dalam kerajaan pimpinannya. Bukankah itu satu kerugian? Di saat DAP, sebuah parti berbilang kaum hadir sebagai manifestasi “Bangsa Malaysia” yang menjadi azam Tun melalui gagasan Wawasan 2020, peluang itu tidak digunakan dengan sebaik mungkin.

Selagi mana politik negara ini berpegang kepada sistem teritorial yang meletakkan kaum sebagai indikator sempadan bidang kuasa, selagi itulah negara ini akan terus menjadi mangsa penunggang politik etnostrik yang mempergunakan kaum sebagai tabir untuk menyembunyikan pergelutan antara kelas yang terus menjadi barah dalam masyarakat.

Bergerak ke depan, legasi yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang adalah sebuah negara yang mengutamakan keperluan warganya; tidak kiralah apa pun latar keturunan, pendidikan, budaya dan kepercayaannya.

Bak kata Tun juga, “(Malaysia) negara berbilang kaum. Anda tak boleh kerja untuk kaum sendiri saja”. Biar berbeza latar budaya, Malaysia adalah negara kita bersama.

Bukankah cantik kalau demikian sudut pandang kita semua sebagai sebuah bangsa berdaulat? – 5 April, 2021.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen