MCA, Gerakan siap siaga hadapi PRU15, meskipun jalan sukar


Khoo Gek San

MCA dan Gerakan diramalkan berdepan cabaran sukar pada PRU15 jika mereka akhirnya terpaksa menjadi blok pembangkang akibat perpecahan antara PN dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2021.

MCA dan Gerakan sedang bersiap sedia untuk berdepan cabaran sukar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika mereka akhirnya terpaksa menjadi blok pembangkang akibat perpecahan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), kata penganalisis politik dan wartawan veteran Cheah See Kian.

Cheah berkata tugas untuk dua parti ini bakal menjadi lebih sukar kerana sokongan pengundi Cina akan kekal dengan DAP, iaitu parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, kedua-dua parti itu yakin untuk berdepan PRU15, berkata mereka mampu meraih semula sokongan yang hilang dan mempertahankan kerusi.

Parti berasaskan kaum Cina, MCA adalah komponen dalam BN, diketuai Umno, sementara parti majmuk dengan majority Cina, Gerakan dalam kem PN diketuai Bersatu.

Sementara Umno sudah pun berkata ia akan mengakhiri kerjasama dnegan Bersatu pada PRU15, BN masih lagi belum menyatakan pendirian rasmi.

MCA dan Gerakan mengalami kekalahan yang memalukan pada PRU14 ketika kedua-duanya masih dalam BN.

MCA hanya menang kerusi Parlimen Ayer Hitam pada PRU 2018, tewas di enam kerusi lain yang ditandinginya. Namun, ia kemudian menawan semula Tanjung Piai pada pilihan raya kecil 2019.

Gerakan pula tewas di semua 11 kerusi Parlimen ditandingi, termasuk satu kerusi yang dipegang sejak PRU13. Ia keluar BN selepas PRU14 dan menyertai PN pada Februari lalu.

Cheah berkata pertandingan tiga penjuru membabitkan BN, PN dan PH akan membawa masalah kepada Gerakan dan MCA pada PRU15.

Bagaimanapun katanya, MCA mungkin bernasib lebih baik sedikit berbanding Gerakan kerana parti itu kurang pemimpin politik berkaliber.

“Dominic Lau dan timbalannya Oh Tong Keong mempunyai pengaruh yang terhad.

“Bekas pemimpin Gerakan juga enggan kembali berkhidmat kepada parti. Malah jika mereka sanggup balik sekalipun, perjuangan dalam parti itu sendiri bakal jadi penghalang.” – 5 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen