EMPAT maut dalam nahas jalan raya semalam berikutan cuaca buruk musim sejuk yang dinamakan “bom siklon” melanda Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) yang membawa salji tebal dan sejuk melampau.
Kejadian di tenggara Carolina Utara dan Selatan itu berlaku akibat jalan licin hingga menyebabkan kenderaan gagal dikawal.
Gelombang sejuk yang melanda sebahagian besar AS menjadi penyebab berpuluh maut.
Ribuan penerbangan dibatalkan dan sekolah terpaksa ditutup di kawasan terbabit berikutan ribut salji melanda bahagian timur laut.
Suhu menurun di tenggara bandar raya ini menyebabkan Niagara Falls, air terjun gergasi di sempadan AS-Kanada, membeku.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan berkata, suhu lebih tinggi dijangka sehingga minggu depan dan salji juga belum reda sehingga lewat hari ini, disebabkan ribut bergerak ke arah timur laut ke Kanada.
Peramal kaji cuaca menggelar keadaan cuaca ketika ini sebagai “bom siklon”, nama gelaran untuk fenomena “bombogenesis”.
Ia sistem cuaca yang mengalami penurunan mendadak dalam tekanan atmosfera dan mengumpul kekuatan dengan pantas, melepaskan angin seperti taufan.
Rakyat AS di sepanjang Pantai Timur berdepan potensi bergelap dalam suhu sejuk melampau.
Setakat ini, 24,000 penduduk di Virginia, 9,000 di Massachusetts dan ribuan lain di Georgia, Carolina Selatan dan Florida, terjejas.
Gabenor Carolina Utara Roy Cooper bersedih dengan kematian tiga orang di negerinya termasuk dua yang maut selepas trak pikap dinaiki tergelincir dari jambatan dan terbalik di sungai.
Jalan raya ditutup di utara Florida dan tenggara Georgia dengan Gabenor Nathan Deal mengisytiharkan darurat di kawasan pantai.
Sekolah diarahkan tutup susulan salji dijangka turun sehingga 30.5 sentimeter di sebahagian bandar raya ini dan Boston, diikuti angin kencang.
Datuk Bandar Bill de Blasio menggesa penduduk menjauhi jalan raya dan berhati-hati dengan ribut. – AFP, 5 Januari, 2017.
Komen