Umno boleh bekerjasama dengan DAP, kata Dr Mahathir 


Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap kepada kepada pemberita selepas hadir pada sesi dialog dengan NGO berhubung Finas Kuala Lumpur.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 April, 2021.

JIKA Umno boleh bekerjasama dengan MCA, yang juga ekstrem suatu ketika dahulu, jadi tiada masalah untuknya bekerjasama dengan DAP, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada Umno untuk memutuskan sama ada ia mahu bekerjasama dengan DAP.

“Umno bekerjasama dengan MCA yang agak ekstrem suatu masa dulu.

“Terpulang kepada Umno,” kata ahli Parlimen Langkawi kepada pemberita selepas hadir pada sesi dialog dengan NGO berhubung Finas Kuala Lumpur.

Kenyataan itu dibuat selepas Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman memberitahu Free Malaysia Today bahawa Umno boleh bekerjasama dengan DAP pada masa akan datang sekiranya parti itu mengambil pendekatan “lebih sederhana”.

Dr Mahahir berkata ketika dalam pentadbiran Pakatan Harapan, DAP adakalanya boleh menjadi ekstrem.

“Saya sudah bekerjasama dengan DAP dan kadang-kadang (DAP) ekstrem tapi kita boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Mahathir berkata DAP perlu sedar bahawa Malaysia ialah negara berbilang bangsa dan mereka perlu bekerja untuk semua kaum daripada memenangi kaum mereka sendiri.

“DAP juga perlu sedar ini adalah negara berbilang bangsa. Anda tidak boleh bekerja untuk kaum sendiri saja,” katanya.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir, negara ini tidak boleh ditadbir oleh satu kaum dan setiap kaum ada hak untuk menyertai politik.

Menurutnya Malaysia mempunyai kerajaan berbilang kaum sejak era pentadbiran Tunku Abdul Rahman. – 4 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen