Mengepung kota dari desa dengan pimpinan Dr Mahathir


PADA 1934 Parti Komunis China (PKC) dibantai teruk oleh soldadu Kuomintang di bawah pimpinan Jeneral Chiang Khai-shek. Mao Zedong yang mula memimpin parti membawa saki baki ahli parti mengundur ke pedalaman Yenan, utara China.

Dari Yenan, Mao menulis taktik dan strategi untuk ahli parti. Dari Yenan lahir tulisan bertajuk “Mengepung Kota Dari Desa”. Ini lakaran strategi politik dan militer yang diajukan oleh pengerusi Mao. Berpedomankan strategi ini, Mao dan PKC akhirnya berjaya mendirikan Republik Rakyat China pada 21 September, 1949.

Saya mengambil babak perjuangan Mao ini kerana ia berkait rapat dengan iklim dan suasana politik tanah air kita pada masa ini.

Pada PRU13, kita melihat ombak besar rakyat yang bangun untuk menghumbankan Najib dan Umno. Pakatan Rakyat mendapat 52% undi rakyat. Di mana-mana pun dalam dunia ini jika sesebuah parti mendapat lebih 50% undi maka parti itu akan mendirikan kerajaan.

Ini tidak berlaku di Malaysia. Kemenangan Pakatan Rakyat disonglap oleh Najib. Pakatan Rakyat dinafikan hak ke Putrajaya.

Dengan menggunakan PRU13 sebagai rujukan, pada PRU14 ini jika ombak yang sama berlaku maka Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan kerajaan baharu. Tapi dengan satu syarat. Wajib ada lonjakan sokongan 3% ke 5% sokongan baharu dari bani Melayu.

Dalam politik Malaysia kunci perubahan ialah Melayu. Tanpa Melayu sampai kiamat pun Malaysia tidak akan berubah. Justeru PH wajib mendapatkan sokongan undi baharu dari Melayu.

Jeng. Jeng. Jeng. Justeru saya mengajukan pandangan dari awal lagi agar Dr Mahathir Mohamad dicadangkan sebagai calon perdana menteri. Ini dalam usaha untuk mendapatkan sokongan penambahan peratusan undi Melayu.

Kenapa saya berkata sedemikian? Apa sebab musabab yang meyakinkan saya untuk mengajukan pandangan sedemikian?

Jawabnya bukan kerana dedak. Jawabnya bukan saya dijanjikan kerusi DUN Gombak atau Ampang. 

Saya mengajukan cadangan ini kerana saya melalui sekolah rakyat. Pada awal 2017, saya dijemput oleh YB Raub, Ariff Sabri untuk datang berceramah ke Felda Tersang. Turut sama berceramah pada petang itu ialah Tony Pua dan Kashturi Patto. Dua sosok ini adalah “gedebe”dari DAP.

Dalam dewan tempat kami berceramah hanya 17 orang yang datang. Lapan ahli DAP dari Raub. Bayangkan.

Bayangkan kami datang dari jauh tapi hanya dapat memberi pencerahan kepada 17 orang. Saya tidak kecewa kerana saya belum pernah ada peluang berucap di Felda Pahang. Maka untuk saya ini “memecah ruyung”.

Pada sebelah malam hujan turun. Ceramah kami tak sampai 10 orang yang hadir. Ini kegagalan maha hebat. Lebih gagal daripada “Hari Gagalis 14 Februari”.

Beberapa bulan kemudian saya terbaca berita Dr Mahathir berceramah di Felda Taib Andak. Ribuan yang turun. Kemudian Dr Mahathir berceramah di Felda Jengka 8. Ribuan warga Felda turun.

Lalu saya ulang baca tulisan Mao. Maka saya yakin inilah maknanya mengepung kota dari desa. Maka saya yakin tugas suci aktivis PH pada ketika ini ialah mengepung kota dari desa.

Wilayah kota, bandar dan pekan kecil – semi urban/semi rural sudah lama berkiblat ke arah PH. Warga kota dan pinggir kota siap siaga untuk sekali lagi menerajang Najib dan Rosmah. Warga kota sudah lama membelakangkan Najib dan Rosmah.

Yang masih menyokong Najib dan Rosmah hanyalah warga kampung dan Felda. Justeru mengepung kota dari desa adalah strategi yang ampuh untuk ke Putrajaya.

Sosok yang boleh membuka jalan ke kampung dan Felda bukan Pua, bukan Ariff Sabri, bukan Mat Sabu, bukan Eli Wong, atau Sivarasa atau Azmin Ali. Jauh sekali tukang hasut Hishamuddin Rais.

Kereta kebal T-14 Armata Rusia yang dapat memecah tembok batu kota Felda bernama Dr Mahathir Mohamad. Keupayaan Mat Sabu hanya ke tahap Ito dan Aishah. Bayangkan hanya Dr Mahathir yang dapat menawan hati Cik Siti dan Kak Sheila. Hanya rempah rampai Dr Mahathir dapat menjerut masakan Chef Wan.

Apakah kita terlalu Lokman Adam untuk memahami ini semua? Apakah Azwan Bro menjanjikan kita kerusi hingga kita gagal mentafsir fakta di hadapan mata?

Kalau saya ditangkap dipenjarakan dan dihantar ke Kamunting – saya tetap mencadangkan nama Dr Mahathir.

Yakinlah pilihan pertama saya ialah Anwar Ibrahim. Sosok inilah paling tepat untuk memimpin Malaysia pada tahap ini. Tetapi terimalah hakikat sosok yang saya pilih dan paling afdal masih dalam penjara. Apakah kita masih Lokman Adam untuk memahami fakta ini? Atau fikrah kita telah setaraf dengan Azwan Bro?

Wajib juga saya beritahu di sini apabila saya mencadangkan nama Dr Mahathir dalam fikrah saya ialah umurnya. Umur Dr Mahathir yang lanjut ini memberi harapan kepada calon masa depan saya yang bernama Anwar.

Apabila Anwar dibebaskan dan kembali aktif, mungkin berumur 75 tahun. Maka saya akan berhujah bahawa pada satu ketika dulu saya menyokong sosok yang berumur 92 tahun. Umur Anwar 75 tahun ini – no big deal.

Malah apabila Duterte dan Donald Trump yang usianya melintasi 70 kali Hari Krismas, menang pilihan raya saya cukup gembira. Malah saya menghantar SMS kepada anak Anwar mengalu-alukan kemenangan Duterte. Mungkin anak Anwar ini tidak faham apa makna di sebalik SMS saya itu.

Wajib saya berkata jujur di sini. Ada satu perkara yang saya hitam putihkan beberapa kali dalam tulisan saya. Perkara ini ialah tentang kesilapan dan kesalahan Dr Mahathir.

Jenayah Dr Mahathir yang maha berat untuk saya bukan rasuah. Bukan kerana beri projek pada kroni? Bukan kerana Operasi Lalang? Bukan kerana menangkap para Reformis? Bukan. Bukan. Bukan.

Untuk saya kesalahan Dr Mahathir paling besar ialah menafikan Melayu mendapat pimpinan Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar. Untuk saya inilah jenayah besar Dr Mahathir.

Untuk memahami surah jenayah ini saya bawa pembaca ke hujung minggu di akhir Jun 2017. Pada hari itu saya berpeluang makan tengah hari dengan Husam Musa di Temerloh Pahang.

Sesudah petai dan patin tempoyak, saya membuka surah untuk menghasut Husam agar menerima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika diperlukan.

Calon PM ini untuk mengolah persetujuan orang ramai agar datang ke lubuk PH. Saya sedar malah saya pernah berpendapat bahawa – kerbau belum dibeli, tidak berguna kita bergaduh sesama sendiri tentang di mana hendak kita kandangkan kerbau ini.

Tetapi hakikatnya dalam politik pengundian, perlu dicadangkan nama si Polan Si Polan sebagi PM atau menteri untuk mengolah persetujuan orang ramai.

Pada petang itu di Temerloh saya berhujah jika kita terima Dr Mahathir ini bermakna kita kembali ke landasan asal politik Malaysia sebelum 1998 – sebelum Anwar disingkir.

Malaysia kembali melihat gandingan lama Dr Mahathir/Anwar untuk memimpin Malaysia. Jika ini berlaku saya akan bersenang hati kerana Melayu tidak dinafikan pimpinan Anwar.

Kenapa saya gila sangat dengan agenda kepimpinan ini?

Sejarah sedang merakamkan Pak Lah sebagai PM. Tidak perlu saya cungkil kisah Level Four atau apa yang terjadi pada zaman Abdullah Badawi. Sekarang ini sejarah sedang membuktikan betapa suweynya nasib Melayu kerana dipimpin oleh dua pencuri. Inilah kepimpinan malapetaka yang menimpa Melayu.

Dalam sejarah kepimpinan Melayu kita melihat bagaimana dengan licik Inggeris menafikan Melayu dari dipimpin oleh Ahmad Boestamam, Burhanuddin Helmi, Pak Sako, Rashid Maidin atau Abdulah CD.

Dr Mahathir yang saya cadangkan kepada Husam di Temerloh, pada hemat saya sedang cuba mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul. Dr Mahathir kini sedar yang dirinya tersilap kerana menafikan Melayu dari kepimpinan Anwar.

Justeru kereta kebal T14 Armata buatan PH sedang bergerak mengepong kota dari desa untuk sampai ke Putrajaya. – 5 Januari, 2018.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis reformasi.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen