Bekas putera mahkota Jordan dakwa dikenakan tahanan rumah


Putera Hamzah Hussein semalam mendakwa dikenakan tahanan di rumah, namun menafikan terbabit dengan konspirasi terhadap abangnya Raja Abdullah II. – Gambar EPA, 4 April, 2021.

Bekas putera mahkota Jordan semalam mendakwa dikenakan tahanan di rumah, namun menafikan terbabit dengan konspirasi terhadap abangnya Raja Abdullah II.

Putera Hamzah Hussein dalam satu video yang dihantar ke stesen televisyen BBC berkata ketua angkatan tentera datang mengunjunginya sebelum itu dan memberitahu beliau dikenakan tahanan di rumah.

“Saya tidak dibenarkan keluar dari rumah, berhubung atau bertemu dengan orang.”

Beliau juga mendakwa beberapa rakannya ditahan, kawalan keselamatannya ditarik balik, manakala akses internet dan talian telefonnya disekat. 

Hamzah juga menegaskan beliau tidak terbabit dalam mana-mana konspirasi menentang abangnya, serta tidak bertanggungjawab atas kegagalan pentadbiran negara, rasuah dan ketidakcekapan dalam struktur kerajaan sejak 15 hingga 20 tahun lalu.

“Saya bukan sebahagian daripada konspirasi atau organisasi jahat,” kata putera itu dalam video.

Hamzah juga menegaskan rakyat tidak lagi dibenarkan mengkritik pihak berkuasa atau menyuarakan pendapat dengan bebas.

Beliau mendakwa sistem pemerintahan percaya bahawa “kepentingan peribadi, kewangan dan rasuah lebih penting daripada kehidupan, maruah serta masa depan 10 juta rakyat yang tinggal di sini’.

Sementara itu, BBC berkata video tersebut dihantar oleh peguam Hamzah, selepas laporan bekas pembantu kanan diraja Jordan dilaporkan antara beberapa suspek yang ditahan semalam.

Hamzah merupakan anak sulung Almarhum Raja Hussein dan isterinya yang berasal dari Amerika Syarikat, Permasuri Noor. Putera itu mempunyai hubungan baik dengan abang tirinya, Abdullah dan terkenal dalam kalangan pemimpin puak.

Abdullah melantik Hamzah sebagai putera mahkota pada 1999 berdasarkan permintaan Almarhum Raja Hussein yang ketika itu sakit tenat.

Abdullah menarik balik gelaran itu pada 2004 dan mengurniakannya kepada anak sulungnya, Hussein.

Agensi berita rasmi Petra metik sumber keselamatan melaporkan Bassem Awadallah dan Sherif Hassan Zaid antara individu yang ditahan dalam operasi khas semalam. – AFP, 4 April, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen