Kisah 'Langkah Sheraton' dalam lukisan Tony Pua


Raevathi Supramaniam

Lukisan tersebut memaparkan 15 wajah ahli politik antaranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar ihsan Theatre Impian, 4 April, 2021.

RAMAI tidak tahu Tony Pua mempunyai bakat melukis, sehinggalah beliau menghasilkan sebuah lukisan yang menggambarkan pandangannya mengenai “Langkah Sheraton”, yang telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Lukisan itu antara 100 hasil karya seni yang dipamerkan di Theatre Impian, Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun kelahiran veteran DAP Lim Kit Siang  yang ke-80 bulan lalu. 

Diberi tajuk “Langkah Sheraton”, lukisan tersebut memaparkan 15 wajah ahli politik antaranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Pua berkata beliau dipelawa untuk menyumbang sebuah lukisan pada 2018 tetapi terpaksa menolak atas kekangan masa. Namun, selepas PH tumbang, disusuli pula dengan Perintah KawalanPergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, ahli Parlimen DAP itu berkesempatan berbuat demikian.

“Saya diminta untuk menyumbang lukisan bagi galeri seni sempena ulang tahun kelahiran ke-80 Lim Kit Siang (pada bulan lalu). Ketika itu 2018, saya masih bertugas di Kementerian Kewangan. Jadi, saya tak berkesempatan.

“Bagaimanapun, ‘kebetulan’ pula PH tumbang oleh kerajaan pintu belakang pada Februari 2020, kemudian PKP pula pada Mac.

“Jadi, saya ada banyak masa. Langkah Sheraton satu peristiwa besar dalam sejarah politik Malaysia dan saya percaya ia perlu diceritakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tony Pua menghasilkan sebuah lukisan yang menggambarkan pandangannya mengenai 'Langkah Sheraton' telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH. – Gambar The Malaysian Insight, 4 April, 2021.

Idea menghasilkan lukisan itu timbul hasil inspirasi dari karya Leonardo da Vinci pada abad ke-15 bertajuk “The Last Supper”, yang menggambarkan jamuan terakhir Jesus bersama  12 orang utusannya sebelum disalib.

“Bagaimana peristiwa itu diceritakan, mungkin inspirasi dari lukisan ‘The Last Supper’, di mana kelakuan dan ekspresi para utusan dalam lukisan terkemuka itu menceritakan apakah yang sedang berlaku. Pengkhianatan dan tragedi. 

“Lukisan ini menjadi catatan sejarah mengenai apa yang sebenarnya berlaku semasa Langkah Sheraton,” katanya.

Kali terakhir Pua menghasilkan lukisan cat minyak adalah ketika masih remaja, berdekad dahulu. Jadi, cubaan menghasilkan lukisan ‘Langkah Sheraton’ agak mencabar, katanya.

“Kali terakhir saya hasilkan lukisan cat minyak semasa umur saya 15 atau 16 tahun. Lukisan akrilik pula dalam 4 atau 5 tahun lepas. 
Jadi, bakat saya dah ‘berkarat’.

Lukisan bersaiz 121 x 152cm itu mengambil masa 10 bulan untuk disiapkan, dan sekitar 8 jam sehari untuk melukisnya, kata Pua.

“Tempoh masanya hanya 10 bulan. Ada ketika saya habiskan 6-8 jam untuk emlukis dalam sehari. Ada juga ketika sampai berminggu tidak berusik, terutamanya apabila saya terlalu sibuk, seperti sebulan berkempen untuk pilihan raya negeri Sabah.” – 4 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen