MIC bangkit kembali, sedia hadapi PRU15, kata Sivaraajh


Ravin Palanisamy

Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran yakin MIC akan kembali bangkit dan menunjukkan peningkatan prestasi pada PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 April, 2021.

KONGRES India Malaysia (MIC) telah melalui perubahan dan membuat pembaharuan untuk melakukan yang terbaik ada pilihan raya umum akan datang selepas menunjukkan prestasi terburuk pada pilihan raya umum lalu, kata naib presiden parti Sivarraajh Chandran.

Beliau berkata parti itu optimis mampu memberikan prestasi lebih baik pada pilihan raya umum dakan datang selepas berdepan kekalahan teruk pada dua pilihan raya umum lalu.

“Jika kita lihat pada senario pilihan raya umum lalu (PRU14) itu adalah prestasi terburuk MIC.

“Kami masih berusaha menyelesaikan cabaran yang kami hadapi…namun secara peribadi saya merasakan sokongan kepada kami lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu. 

“Jadi, dengan itu saya percaya MIC boleh melakukan lebih baik,” kata Sivarraajh kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata parti itu melihat pada kerusi tradisi dan juga prospek baharu untuk pilihan raya umum akan datang.

Tambahnya kerusi baharu akan dicadangkan berdasarkan analisis demografi dan data yang dikumpul.

“Kita ada tiga peringkat kerusi - tradisi, pertukaran dan kerusi baharu.

“Kerusi keutamaan kami adalah seperti Sungai Siput, Tapah, Sungai Buloh, Hulu Selangor, Segamat yang dianggap sebagai kerusi tradisi kami. Malah Cameron Highlands juga kerusi tradisi kami namun Umno mengambilnya pada pilihan raya umum lalu jadi kami diberitahu akan diberikan pertukaran kerusi.”

Pada pilihan raya umum lalu, MIC menunjukkan prestasi paling buruk; hanya memenangi dua kerusi Parlimen dan tiga kerusi negeri daripada masing-masing sembilan dan 18 yang ditandingi.

Daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandingi, MIC hanya mempertahankan kerusi Parlimen Tapah yang dimenangi M Saravanan dan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dimenangi C. Sivarraajh.

Daripada 18 kerusi negeri yang ditandingi, parti itu hanya memenangi tiga kerusi – Jeram Padang di Negeri Sembilan dan Tenggaroh dan Kahang di Johor.

Presiden parti ketika itu yang juga menteri kesihatan Dr S. Subramaniam gagal mempertahankan kerusi Parlimen Segamat selepas tewas kepada calon PKR Santhara Kumar Ramanaidu dengan  5,476 undi.

Timbalan presiden MIC S.K. Devamany gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput manakala Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy tewas di kerusi Parlimen Kapar. – 4 April, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen